Pengangguran: Peningkatan kecil pada 4.9% di sebalik pemulihan sederhana tenaga buruh

Pengangguran: Peningkatan kecil pada 4.9% di sebalik pemulihan sederhana tenaga buruh

DOSM melaporkan peningkatan kecil kadar pengangguran kepada 4.9% pada Jan 2021 berbanding 4.8% pada Dis 2020.

Jabatan Perangkaan menjangkakan pasaran buruh berdepan dengan situasi tidak menentu pada suku tahun pertama, melihat kepada krisis kesihatan pada awal 2021.
PETALING JAYA:
Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan peningkatan kecil kadar pengangguran pada 4.9% pada Jan tahun ini berbanding 4.8% pada Dis 2020 susulan pandemik Covid-19, di sebalik pemulihan sederhana kedudukan tenaga buruh.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin melaporkan kadar pengangguran meningkat sebanyak 9,700 orang penganggur kepada 782,500 orang pada Januari, berbanding 772,900 pada Disember.

“Peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan, yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan, dan aktiviti rekreasi,” katanya dalam kenyataan.

Uzir berkata, pasaran buruh memasuki 2021 terus berdepan dengan situasi yang mencabar berikutan peningkatan bilangan kes baharu Covid-19, keadaan yang membawa kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 2.0 di kebanyakan negeri, bermula 13 Jan sehingga 4 Feb.

Sepanjang fasa itu, hanya lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan.

“Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap momentum pemulihan perniagaan dan seterusnya pasaran buruh,” katanya.

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus meningkat pada Jan 2021 kepada 158,900 orang berbanding 146,200 pada Disember.

“Golongan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja, tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan,” katanya.

DOSM menjangkakan pasaran buruh berdepan dengan situasi tidak menentu pada suku tahun pertama, melihat kepada krisis kesihatan pada awal 2021.

Namun, ketidaktentuan pasaran buruh “berkemungkinan dapat diminimumkan” dan momentum pemulihan pasaran dapat dipercepatkan dengan fasa pertama program vaksinasi yang bermula pada 24 Feb dan inisiatif bawah PENJANA, PRIHATIN, dan PERMAI yang menyokong kelangsungan perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.