PAS Perak lapor polis kenyataan fitnah di media sosial

PAS Perak lapor polis kenyataan fitnah di media sosial

Ia berikutan hantaran yang mengaitkan parti itu mengarahkan ahli bermunajat bagi mendoakan ADUN Tronoh yang dikaitkan dengan kes rogol pembantu rumah dibebaskan.

Laporan dibuat Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pagi tadi. (Gambar Bernama)
IPOH:
PAS Perak hari ini membuat laporan polis berhubung satu kenyataan fitnah di media sosial yang mengaitkan parti itu mengarahkan ahli supaya bermunajat dan mendoakan ADUN Tronoh, Yong Choo Kiong yang kini berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya, supaya dibebaskan.

Laporan dibuat Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pagi tadi.

Razman dalam laporannya menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam menyebarkan mesej palsu yang dimuat naik ke laman Facebook menggunakan nama `Harakatdaily HD’.

Laman itu pada Ahad mendakwa PAS Perak mengarahkan ahlinya bermunajat bagi mendoakan Yong yang juga bekas EXCO Perak ketika Pakatan Harapan memerintah, supaya dibebaskan tuduhan daripada kes rogol pembantu rumah.

Razman berkata, hantaran berkenaan mungkin bertujuan untuk menjatuhkan imej beliau dan memberikan gambaran kepada umum bahawa PAS mahu membela perkara yang salah.

“Saya membuat laporan polis hari ini agar tindakan dapat diambil terhadap Harakatdaily yang membuat hantaran palsu, fitnah dan berniat jahat.

“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk melihat perkara ini untuk dibawa ke mahkamah,” katanya

Sementara itu, ketua penerangan PAS Perak, Hafez Sabri berkata, PAS Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli agar berbuat demikian.

“PAS Perak turut mengecam tindakan Harakatdaily yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan identiti seakan-akan portal Harakahdaily.

“Portal berkenaan telah banyak mengeluarkan propaganda murahan serta kenyataan-kenyataan fitnah terhadap PAS,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pendirian PAS Perak adalah jelas iaitu tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah.

“Bagi PAS Perak, mahkamah berhak untuk mengadili mana-mana individu secara bebas dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“PAS Perak berharap pihak polis mengambil tindakan bagi menutup pintu fitnah yang sedang dimainkan,” katanya.

Perbicaraan kes rogol membabitkan Yong dijadualkan bermula 30 Mac hingga 9 April ini di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.