
Sungguhpun petugas kesihatan dan pasukan keselamatan memainkan peranan utama ketika pandemik ini, mereka yang di belakang usaha memulihkan kembali ekonomi dan pendapatan komuniti juga memainkan peranan cukup besar.
Salah seorang daripada mereka ialah presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (WENA) Nuraizah Shamsul Baharin, yang secara sukarela tampil membantu atas dasar memupuk semangat “wanita bantu wanita”.
Nuraizah berkata, kesan pandemik memberi tamparan hebat terhadap ekonomi komuniti, khususnya usahawan mikro wanita, dan beliau bersama pertubuhan bukan kerajaannya itu berasa terpanggil untuk membantu.
“Kita akui ramai dalam kalangan usahawan mikro amat terkesan semasa pandemik, ada yang tidak dapat teruskan perniagaan, termasuk menutup perniagaan sepenuhnya dan pelbagai kisah lain.
“Dari situ kita fikir apakah yang boleh kita lakukan selain bantuan yang diberikan kerajaan? Kita juga perlu ambil pendekatan untuk bantu pulihkan ekonomi dan sumber pendapatan golongan ini,” katanya ketika dihubungi.
Nuraizah yang juga pengarah urusan Madcat World Sdn Bhd, sebuah syarikat membangunkan aplikasi mudah alih berkata, terdapat tiga program yang dilaksanakan pihaknya sejak tercetusnya pandemik Covid-19 bagi membantu usahawan mikro wanita.
Ini termasuk program MADCash melalui syarikatnya sendiri, dengan tiga usahawan mikro wanita diberi sumbangan RM1,000 setiap seorang.
“Melalui program ini mereka yang kita bantu dapat jana semula pendapatan kira-kira RM16,000 ketika lebaran lepas,” katanya.
Melalui WENA katanya, seramai 30 usahawan mikro wanita dibantu dari segi kewangan dan dimasukkan ke dalam akademi untuk tingkatkan kemahiran perniagaan mereka dengan bantuan pembiayaan daripada kedutaan Ameriksa Syarikat.
“Bulan Jun ini, kita akan dapat satu pembiayaan lagi daripada kedutaan AS untuk WENA membantu lebih 50 usahawan mikro dan memasukkan mereka ini dalam akademi seperti sebelum ini dan tambah baik kemahiran perniagaan, sekali gus meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.
Nuraizah berkata melalui Program BangKIT Bank Islam pula, MadCat selaku “çhange maker” menerima pembiayaan antara RM500 hingga RM20,000 untuk membantu kira-kira 100 usahawan mikro, dan ia masih lagi dalam proses pemilihan (penerima).
Sebagai wanita bekerjaya dan ibu kepada seorang cahaya mata, Nuraizah berkata, apa yang dilaksanakannya ini adalah berlandaskan semangat untuk memupuk eko-sistem “wanita bantu wanita”.
“Wanita bukan hidup untuk diri sendiri, sebaliknya mereka hidup untuk anak, suami dan ibu bapa mereka.
“Oleh kerana itu mereka terdidik menjadi wanita hari ini yang kuat yang turut mampu menabur jasa kepada negara dan masyarakat,” katanya.
Isnin ini, peranan dan sumbangan golongan ini akan disambut di peringkat nasional bertemakan Wanita Waja Negara: Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.