MAQIS serah 8 tan ayam beku untuk ‘penghuni’ Zoo Negara

MAQIS serah 8 tan ayam beku untuk ‘penghuni’ Zoo Negara

Keseluruhan ayam beku itu adalah hasil rampasan oleh pelbagai agensi penguat kuasa di sempadan Kelantan-Thailand.

Ayam beku diserahkan kepada Zoo Negara itu masih segar dan selamat diberikan kepada haiwan dalam zoo. (Gambar Facebook)
PASIR MAS:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) hari ini menyerahkan lebih lapan tan ayam beku kepada Zoo Negara sebagai bekalan makanan kepada haiwan di situ.

Ketua pengarahnya Saiful Yazam Alwi berkata, keseluruhan ayam beku itu adalah hasil rampasan oleh pelbagai agensi penguat kuasa di sempadan Kelantan-Thailand.

Beliau berkata, serahan yang dibuat itu adalah melibatkan kes rampasan sejak Disember 2020 hingga Januari tahun ini dengan anggaran nilai sebanyak RM66,088.

“Semua ayam beku ini dirampas ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pangkalan-pangkalan hari di tebing Sungai Golok.

Hasil siasatan mendapati semua daging ini dibawa masuk melalui jalan tidak diwartakan tanpa sebarang dokumen seperti permit import yang sah daripada MAQIS,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sebanyak 8,136kg ayam beku kepada Zoo Negara di Kompleks MAQIS Rantau Panjang.

Turut hadir mewakili Zoo Negara, pakar zoologi dan veterinar Dr Naim Ramli.

Menurut Saiful Yazam, ayam beku diserahkan kepada pihak zoo itu masih segar dan selamat diberikan kepada haiwan dalam zoo.

Mengulas lanjut, Saiful Yazam berkata perbuatan mengimport ayam beku tanpa permit merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Katanya, untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak enam kes rampasan ayam beku seberat 16 tan metrik bernilai RM128,960 direkodkan di Kelantan.

Beliau berkata, pada 2020 pula sebanyak 53 kes rampasan ayam beku seberat 176.7 tan metrik bernilai RM1.4 juta direkodkan.

“Bagi mengatasi kegiatan penyeludupan ini, pegawai MAQIS di lapangan diarah memeriksa setiap kontena walaupun ia akan memakan masa lebih lama dan menyebabkan barisan panjang di tempat pemeriksaan.

Kita terpaksa melaksanakan tugasan ini kerana daging beku ini melibatkan isu halal iaitu sesuatu yang paling sensitif dalam kalangan umat Islam dan kita tidak boleh berkompromi dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.