
Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway berkata, nisbah kutipan cukai pendapatan Malaysia merosot daripada 18% pada 2001 kepada anggaran 10-11% bagi 2021.
Tahun ini, kerajaan menetapkan sasaran kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM143.9 bilion.
Berdasarkan sasaran pertumbuhan kerajaan sebanyak 6.5-7.5% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sasaran kutipan sebanyak RM143.9 bilion mewakili kira-kira 10% daripada anggaran KDNK.
“Ia menggambarkan pengecutan asas cukai pendapatan langsung pembayar cukai korporat dan individu, selain penurunan berkala kadar cukai untuk kekal berdaya saing kerana negara jiran juga menurunkan kadar cukai mereka,” kata beliau.
Yeah berkata, walaupun kerajaan memerlukan dana bagi membantu usaha pemulihan ekonomi, namun pengenalan cukai baharu bukanlah penyelesaian yang ideal.
Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan mempertingkatkan kecekapan pentadbiran cukai, menyekat pengelakan cukai dan mengurangkan saiz ekonomi gelap.
“Dengan wujudnya struktur cukai sedia ada, hasil cukai dijangka bertambah dengan peningkatan kegiatan ekonomi,” kata beliau, selain menambah, ini termasuklah hasil daripada cukai perkhidmatan digital.
Yeah berkata, apabila ekonomi semakin kukuh, kerajaan harus melihat kepada reformasi cukai termasuk GST, serta kemungkinan memperkenalkan cukai ke atas keuntungan modal dan kekayaan.
“Oleh kerana asas pengetahuan dan infrastruktur sudah ada, tidak terlalu mahal atau sukar untuk beralih semula kepada GST dengan syarat kelemahan pelaksanaannya dapat diatasi,” kata beliau.
Beliau yakin akan tiba masa yang sesuai untuk mengembalikan GST, memandangkan ia mempunyai kelebihan dan merit.
Geoffrey Williams, pakar ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia juga berkata, kerajaan harus berusaha untuk mereformasi sistem percukaian dan mengimbangkan cukai pendapatan dan penggunaan dengan lebih baik.
“Pada masa ini, skop untuk cukai yang lebih tinggi cukup terbatas. Menambah baik (proses) kutipan cukai dan mengurangkan kebocoran dan larian (cukai) harus ditekankan dari sisi hasil.
“Wujud pertimbangan sosial dan ekonomi, dan daya saing cukai berbanding pesaing kita juga penting, dengan mengambil kira isu pelaburan langsung asing yang berkaitan dengannya,” kata beliau.
Beliau berkata, langkah ke hadapan adalah melalui cukai penggunaan seperti GST kerana ia lebih efisyen.
“Ini kerana orang ramai mengelak daripada menyatakan pendapatan, tetapi tidak mengelak untuk berbelanja. Jadi, cukai penggunaan, secara umumnya, mungkin adalah pilihan yang lebih baik.