2 ADUN sertai PPBM tak jejas pentadbiran kerajaan negeri, kata MB Perak

2 ADUN sertai PPBM tak jejas pentadbiran kerajaan negeri, kata MB Perak

Saarani Mohamad berkata pihaknya bersama barisan exco kerajaan negeri terdiri daripada Umno, PPBM, dan PAS ketika ini, hanya memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menyertai program gotong-royong di Rumah Pangsa Jalan Pasir Putih hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Penyertaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam dalam PPBM, tidak memberi sebarang kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri, kata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Beliau yang juga ketua Umno negeri berkata, pihaknya bersama barisan anggota exco kerajaan negeri yang terdiri daripada Umno, PPBM, dan PAS ketika ini, hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sesiapa sahaja berhak untuk memilih parti yang mereka mahukan. Jadi, memang tidak ada sebarang masalah (pentadbiran kerajaan negeri).

“Apa-apa pun, kita tunggu sahaja pilihan raya umum, kita ‘berperang’ (antara parti politik) waktu itu nanti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedua-dua ADUN bekas DAP yang menyertai PPBM, baru-baru ini.

Saarani ditemui pemberita selepas menyertai program gotong-royong di Rumah Pangsa Jalan Pasir Putih yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin.

Kedua-dua ADUN itu yang keluar DAP pada Mac tahun lalu kerana menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan Sivasubramaniam menyertai Gerakan pada Jun 2020 manakala Yong pula memilih menjadi ADUN bebas.

DUN Perak mempunyai 59 DUN dengan 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang semuanya daripada Umno, PPBM (tujuh) PAS (tiga), DAP (16), Amanah (lima) dan PKR (tiga).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.