
Malah, warga emas berketurunan Cina itu, Wong Khen Kong juga kagum dengan kepetahan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Dilantik, Jaffari Waliam, seorang Bumiputera Islam, bertutur dengannya dalam bahasa Mandarin.
“Saya tidak tahu dia (Jaffari) seorang YB (Yang Berhormat). Tetapi saya dengar dia orang yang baik dan peramah.
“Saya mahu dia beli surat khabar saya. Harap dia nampak saya di sini,” katanya ketika ditemui pada sebuah program maklumat bergerak Jabatan Penerangan “Info On Wheels” (IOW) di Pasar Batu 8 di sini yang dilancarkan oleh Jaffari.
Wong berkata beliau telah menjual surat khabar sejak 50 tahun lalu di sekitar Batu 8, selepas berhenti bekerja sebagai kerani sekolah.
Menurutnya, kerap kali beliau terpaksa mengeluarkan MyKadnya untuk membuktikan umurnya hampir mencecah seabad kerana ramai tidak mempercayai beliau lahir pada 1931.
Jelasnya, ramai memuji keadaan fizikal badannya yang masih bertenaga dan wajahnya yang kelihatan 20 atau 30 tahun muda daripada umurnya yang sebenar, namun beliau mengakui kini mempunyai kesukaran untuk mendengar dengan jelas.
Wong berkata isterinya telah meninggal dunia 10 tahun lalu dan hanya mempunyai seorang anak angkat lelaki yang telah berkahwin yang mempunyai tiga orang anak.
“Saya ada cicit, tetapi saya tidak ingat berapa orang,” tambahnya.
Ketika diminta mengulas apa yang dituturkan kepada Wong dalam bahasa Mandarin, Jaffari berkata beliau menasihatkan Wong supaya sentiasa jaga kesihatan dan kebersihan serta tidak lupa memakai pelitup muka agar tidak terdedah kepada Covid-19 memandangkan usia Wong yang telah lanjut.
“Pakcik (Wong) itu kata dia tidak kenal saya, tetapi saya kata saya kenal dia… saya juga ada membeli surat khabarnya dan memberi sedikit wang supaya pakcik itu boleh pulang dan berehat awal,” katanya.
Pada program itu, Jaffari menasihatkan masyarakat, yang masih meragui keselamatan suntikan vaksin Covid-19, supaya meyakinkan diri dengan mendidik diri melalui berita benar mengenai vaksin itu, termasuk mendapat maklumat menerusi IOW.
“Vaksin ini memberi imunisasi terhadap Covid-19 dan tidak wajar kita tolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kesihatan.
“Dan Alhamdulillah, kita juga boleh melihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sihat walafiat sejak menerima suntikan vaksin ini lebih seminggu lepas sebagai bukti vaksin itu tidak memudaratkan,” tambahnya.