30% diskaun bagi pelajar Sarawak bayar balik 30% pinjaman PTPTN

30% diskaun bagi pelajar Sarawak bayar balik 30% pinjaman PTPTN

Sarawak ialah satu-satunya negeri yang menyediakan peruntukan RM30 juta untuk membantu pelajarnya membayar pinjaman pendidikan mereka lebih cepat.

Abang Johari Openg menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) dan Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang di pejabatnya di Petra Jaya hari ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan membantu pelajarnya membayar 30% daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mereka menyelesaikan 30% baki pinjaman mereka.

Kerajaan negeri itu menyediakan peruntukan RM30 juta bagi tujuan itu, menjadikan ia satu-satunya negeri yang mengambil inisiatif sedemikian bagi membantu pelajarnya membayar pinjaman pendidikan mereka lebih cepat.

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dipetik Bernama berkata, beliau mendengar sendiri kesulitan pelajar ketika menghadiri dialog bersama pelajar Sarawak di Semenanjung dalam Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur pada Oktober 2019.

“Hasil dialog itu, saya memberi peruntukan dalam bajet yang lepas sebanyak RM30 juta untuk membantu mereka membayar hutang kepada PTPTN,” katanya ketika berucap di Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Yayasan Sarawak dan PTPTN di pejabatnya di Petra Jaya.

Di bawah memorandum itu, Yayasan Sarawak akan memanfaatkan peruntukan kerajaan negeri bagi menyediakan insentif kepada pelajar Sarawak.

Abang Johari berkata, Yayasan Sarawak mempunyai mekanismenya sendiri dalam menguruskan pembayaran balik pinjaman pelajar yang diharapkannya dapat menyelesaikan masalah mereka.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisiatif itu merupakan usaha proaktif, di mana kerajaan negeri memperuntukkan jumlah cukup besar bagi membantu pelajar melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

“Sewajarnya inisiatif kerajaan Sarawak ini dipuji dan menjadi ikutan serta contoh kepada kerajaan negeri lain dalam membantu rakyatnya membayar baki hutang pinjaman PTPTN.”

Sehingga 31 Dis lepas, katanya, PTPTN memberi pinjaman berjumlah RM4.7 bilion kepada 195,350 pelajar di seluruh negara dan 3,429 peminjam dikecualikan membuat pembayaran balik berjumlah RM88.7 juta kerana memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang berkata, sehingga kini, seramai 9,000 pelajar Sarawak layak mendapat manfaat daripada insentif itu selepas melalui tapisan PTPTN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.