
Ahmad berkata Muhyiddin mahukan kata putus daripada Umno sebelum rundingan pengagihan kerusi PRU-15 diteruskan.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, menuntut kepimpinan Umno menjelaskan kenapa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengutus surat itu sebelum perhimpunan agung pada hujung bulan ini.
Menceritakan turutan peristiwa yang membawa kepada keputusan kontroversi itu, Ahmad berkata Muhyiddin meminta Umno membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan PPBM, dalam perjumpaan khas kepimpinan tertinggi kedua-dua parti dan PAS pada 15 Feb.
“Bagi maksud tersebut, Majlis Kerja Tertinggi mengadakan mesyuarat pada 19 Feb untuk membincangkan lanjut hasrat perdana menteri tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan keputusan tiada kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15, serta kebersamaan dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan dicapai selepas mengambil kira pandangan akar umbi.
“Keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.