Putrajaya digesa pantau dana persekutuan, pastikan disalur kepada komuniti India memerlukan

Putrajaya digesa pantau dana persekutuan, pastikan disalur kepada komuniti India memerlukan

Beberapa pemimpin India berkata, sebahagian dana itu tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

Seorang pemimpin berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Putrajaya memperuntukkan RM100 juta setahun kepada masyarakat India, RM50 juta bagi sekolah Tamil dan RM20 juta lagi di bawah program Tekun Nasional.
PETALING JAYA:
Beberapa pemimpin masyarakat India berkata, sebahagian daripada jutaan ringgit yang diperuntukkan kerajaan persekutuan kepada kaum itu tidak sampai kepada kumpulan sasaran, dan sistem pemantauan berkesan diperlukan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

Seorang pemimpin, yang maklum mengenai sistem itu tetapi tidak mahu dinamakan berkata, sebahagian peruntukan kerajaan persekutuan untuk masyarakat India selalunya tidak disentuh dan tidak sampai kepada golongan memerlukan.

Beliau mencadangkan sistem pemantauan sewajarnya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dari 2021 hingga 2025 bagi memastikan dana itu sampai kepada kumpulan disasarkan.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 katanya, Putrajaya memperuntukkan RM100 juta setahun untuk masyarakat India, RM50 juta bagi sekolah Tamil dan RM20 juta lagi di bawah program Tekun Nasional.

“Sesetengah program memanfaatkan masyarakat itu secara langsung, manakala wang selebihnya dipulangkan kepada kerajaan persekutuan.”

Katanya, di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu, Najib Razak, dari 2015, masyarakat India diberikan RM500 juta, yang dibahagikan kepada lima pembayaran kepada Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India atau Sedic.

Sedic dinamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak tahu sama ada masyarakat India akan menerima jumlah sama di bawah Rancangan Malaysia ke-12, tetapi kita perlu mula bincang bagaimana wang itu akan digunakan.”

Dengan sebahagian dana itu diberikan kepada NGO dan syarikat sebelum ini, beliau mencadangkan wang itu disalurkan kepada Mitra dan institusi pembangunan usahawan Tekun kerana sesetengah NGO mungkin “mengenakan caj berlebihan kepada kerajaan untuk perkhidmatan mereka”.

Beliau berkata, beberapa program yang dijalankan di bawah Barisan Nasional (BN) dan PH membuahkan hasil, tetapi kini digantung.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Mitra dan Tekun patut mengadakan program bantuan untuk memastikan lebih ramai orang India mendapat manfaat daripada dana kerajaan berbanding menganjurkan program peningkatan kemahiran yang turut diadakan kementerian lain.

“Nampaknya terdapat kekurangan tumpuan terhadap dasar dan keutamaan. Wang disimpan dan mereka menunggu orang yang betul tampil. Tetapi, biasanya orang sama yang tahu mengenai sistem itu yang muncul.”

Seorang lagi pemimpin India, yang tidak mahu dinamakan, bersetuju satu daripada cara memastikan dana itu dibelanjakan secara berkesan ialah menubuhkan unit pemantauan dan dana terbabit diaudit oleh pejabat Ketua Audit.

Katanya, bantuan untuk kaum India bermula dengan cara lebih teratur selepas perhimpunan Hindraf pada 2007 ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Bagi Tekun, katanya, kerajaan memperuntukkan RM20 juta setahun untuk membantu perniagaan kecil India, tetapi kebanyakan wang itu tidak disentuh dan dipulangkan kepada kerajaan persekutuan.

“Kita perlu mengkaji kenapa wang itu tidak dibelanjakan secara berkesan dan bagaimana untuk meningkatkan cara penyampaiannya.”

Beliau menyarankan pemulihan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan yang ditubuhkan di bawah BN.

Katanya, di bawah pasukan petugas khas itu, satu cawangan dibuka di setiap negeri dengan dua pegawai akan meneliti masalah sosial yang dihadapi kaum India, termasuk isu kewarganegaraan.

“Contohnya, mereka akan membawa individu terjejas ke Jabatan Pendaftaran Negara atau kementerian berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

“Mereka berjaya menyelesaikan banyak masalah sosial, tetapi ia dihentikan di bawah PH.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.