Malaysia akur, Arab Saudi wajib jemaah haji disuntik vaksin Covid-19 sebelum ke Tanah Suci

Malaysia akur, Arab Saudi wajib jemaah haji disuntik vaksin Covid-19 sebelum ke Tanah Suci

Syarat terbaharu Arab Saudi bukan masalah besar kerana sebelum ini jemaah Malaysia diwajibkan mengambil suntikan vaksin lain.

PUTRAJAYA:
Malaysia akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua bakal jemaah haji perlu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata, syarat terbaharu berkenaan bukan masalah besar kerana sebelum ini jemaah haji dan umrah dari Malaysia sememangnya diwajibkan mengambil beberapa vaksin.

Sebelum ini umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji dan umrah diwajibkan mengambil suntikan vaksin ‘Meningococcal Quadrivalent’ sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ke Tanah Suci.

Bagi jemaah berusia lebih 50 tahun dan mempunyai masalah kesihatan seperti lelah, kencing manis, sakit paru-paru, sakit ginjal, endokrin digalakkan mengambil vaksin influenza, kira-kira sebulan sebelum berangkat ke Makkah.

Ahmad Marzuk Shaary.

“Jika suntikan Vaksin Covid-19 diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, kita kena ikut syarat terbabit. Jadi semua kena akur dan mereka yang terpilih untuk menunaikan haji nanti, perlu akur.

“Seperti yang kita ketahui, sebelum ini jemaah yang ingin menunaikan umrah atau haji perlu ambil suntikan vaksin (Meningococcal Meningitis) juga. Jadi ini sudah menjadi satu kemestian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad Marzuk berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan bakal jemaah haji tahun ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 seperti dilaporkan media antarabangsa.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, vaksin Covid-19 adalah wajib dan menjadi sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

Razali Mohd Sham.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat semua jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah pada tahun ini mestilah berusia di bawah 60 tahun, sihat tubuh badan dan tidak menghidapi sebarang penyakit berjangkit.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Razali Mohd Sham, berkata, semua jemaah haji dan umrah juga diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan sihat tubuh badan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekurang-kurang tiga hari sebelum penerbangan mereka ke tanah suci Makkah atau Madinah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.