Letak senarai pesalah seks bawah KDN, kata NGO

Letak senarai pesalah seks bawah KDN, kata NGO

ISI berkata Kementerian Dalam Negeri mempunyai akses kepada maklumat terkini kesalahan seks dalam dan luar negara.

NGO berkata senarai itu patut memuatkan maklumat semua jenis pesalah seks, bukan saja pedofil.
PETALING JAYA:
Institut Strategi Antarabangsa (ISI) menggesa daftar pesalah seks diletakkan bawah Kementerian Dalam Negeri dan bukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk memastikan senarai itu lebih tepat dan dikemas kini.

Ini kerana KDN mempunyai akses kepada maklumat terkini kesalahan seks dalam dan luar negara.

Tambahnya, senarai itu mesti lengkap, mesra pengguna, dan boleh diakses umum dengan mengandungi maklumat semua jenis pelaku kesalahan seksual, bukan sekadar pedofil.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Hannah Yeoh mengumumkan pewujudan daftar pesalah seks terhadap kanak-kanak, sejak 1 April 2019.

ISI berkata, walaupun langkah itu positif, masih ada kelemahan besar dalam sistem berkenaan, antaranya kes tidak dapat dicari berdasarkan nama, tahun, atau kod kawasan. Ia juga hanya mempunyai maklumat bagi kes bermula dari 2017.

Menurutnya, senarai pesalah seks itu patut dikemas kini dengan jenayah yang dilakukan sejak 2000.

Dakwanya lagi, tiada maklumat jelas berhubung kesalahan yang dilakukan di luar negara, dengan memetik kes melibatkan seorang lelaki Malaysia yang disabit kesalahan memiliki pornografi kanak-kanak ketika belajar di UK, yang kemudian pulang ke negara ini tanpa sebarang penalti.

ISI menghargai usaha kerajaan mewujudkan senarai pesalah seks, namun pelaksanaannya tidak boleh “separuh masak.”

“Maklum balas atau maklumat lengkap patut diberikan polis dan kedua-dua kementerian mesti bekerjasama mewujudkan senarai ini bagi memastikan ia lebih tepat, mudah diakses, lengkap dan terkini.

“Adalah penting untuk ibu bapa memiliki maklumat seperti itu bagi melindungi keluarga mereka dan rasa selamat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.