
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hapus kira itu akan mengurangkan pinjaman bekalan air Kedah, iaitu dari RM1.82 bilion kepada RM1.12 bilion, dan baki pinjaman akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Beliau berkata persetujuan itu membolehkan projek infrastruktur bekalan air luar bandar yang kritikal seperti kerja menaik taraf Lori Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama, Jenun Baru, Bukit Selambau dan Sungai Limau dapat dilaksanakan melalui pembiayaan secara geran bagi menampung permintaan pengguna.
“Baki pinjaman bekalan air kerajaan Kedah akan diambil oleh PAAB dan distruktur semula pembayarannya untuk tempoh 45 tahun melalui bayaran sewa pajakan yang akan dikenakan kepada SADA (Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd).
“SADA akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun (untuk lima tahun pertama) bagi membantu SADA membina asas kewangan yang kukuh sebelum membayar sewa pajakan kepada PAAB,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata PAAB akan membangunkan aset air di Kedah berdasarkan pendekatan bina dan pajak serta dikenakan kadar yang kompetitif berbanding pembiayaan komersial.
“SADA akan dapat menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan LRA baharu, naik taraf LRA sedia ada dan penggantian paip ataupun sistem agihan.
“SADA dapat beroperasi berdasarkan ‘asset light model’ dengan menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan dan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) akan mengawal selia SADA secara berkesan dengan memastikan keperluan SADA untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan bekalan air dari semasa ke semasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau optimis penstrukturan semula perkhidmatan air berkenaan akan memberi implikasi positif kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat di Kedah.
Pada sidang media selepas majlis itu, Tuan Ibrahim berkata kerajaan persekutuan turut meluluskan projek pembinaan LRA di Kedah bernilai RM1 bilion hasil daripada termeterainya perjanjian berkenaan.
“(Ini membabitkan) projek pembinaan LRA di Sidam Kiri, Kuala Muda bernilai RM450 juta dan dijangka siap pada 2027 dan projek LRA di Kodiang, Kubang Pasu bernilai RM550 juta juga diluluskan dan kini dalam proses akhir untuk memulakan kerja,” katanya.
Sebanyak tiga perjanjian ditandatangani bagi menyempurnakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri ini iaitu Perjanjian Utama ditandatangani empat pihak iaitu kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air, pihak kerajaan negeri, PAAB dan SADA, manakala Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan ditandatangani oleh PAAB dan SADA.
Majlis disaksikan oleh Tuan Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.