
Ketua Polis Daerah Barat Daya A A Anbalagan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas dihubungi oleh doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) ketika menerima rawatan kira-kira 1 tengah hari semalam, dan disahkan meninggal dunia pada 2 pagi tadi.
Beliau berkata insiden berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi semalam selepas pengasuh berusia 43 tahun itu mengisi air dalam besen sehingga hampir penuh untuk memandikan kanak-kanak berkenaan.
“Wanita itu pergi mengambil tuala iaitu lebih kurang 10 langkah dari bilik air sebelum kembali semula dan mendapati hampir separuh badan kanak-kanak itu telah tenggelam di dalam air, manakala kakinya berada di luar besen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kanak-kanak itu dikatakan dalam keadaan sedar semasa dialihkan dari besen itu, dan pengasuhnya kemudian memakaikan lampin pakai buang sebelum menidurkannya.
Anbalagan berkata kira-kira setengah jam kemudian, kanak-kanak berkenaan didapati dalam keadaan lemah serta tidak bermaya, dan pengasuhnya terus menghubungi ambulans menerusi talian kecemasan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada terdapat unsur jenayah dan semasa kejadian tiada saksi yang melihat insiden itu. Polis telah menahan pengasuh berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau berkata mayat kanak-kanak itu perlu melalui ujian Covid-19 sebelum dibenarkan untuk proses bedah siasat di Jabatan Forensik HPP.
Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak perempuan berkenaan Wan Farhan Danial Wan Azmi, 26, juruteknik kilang di Bayan Lepas, berkata beliau menerima panggilan daripada pengasuh anaknya kira-kira 1 tengah hari semalam yang memaklumkan anaknya, Sophia Fatehah tidak sedarkan diri akibat lemas di dalam besen di bilik air sebelum terus ke HPP.
Beliau berkata Sophia memang dijaga pengasuh itu sejak berusia dua bulan, malah abang arwah yang berumur enam tahun juga dijaga oleh wanita itu.
“Kami sekeluarga sedih tetapi reda dengan kejadian menimpa Sophia, nak kata saya salahkan pengasuh pun tiada sebab (nak marah) lagipun dah lama kami kenal wanita itu. Dia yang menjaga Sophia manakala anak sulung saya yang berusia enam tahun juga dalam penjagaannya sejak berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di HPP.