
Kelulusan bersyarat bermakna syarikat pemegang pendaftaran bagi vaksin berkenaan perlu mengemukakan analisis data tambahan dan terkini secara “rolling submission” untuk dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
Tiga vaksin berkenaan adalah vaksin AstraZeneca, vaksin Sinovac, dan vaksin Comirnaty.
“Ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.
Pendaftaran vaksin itu diluluskan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 yang bersidang hari ini.
Terdahulu, Malaysia menyambut ketibaan vaksin Sinovac yang dibangunkan firma farmaseutikal China itu secara pukal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Manakala, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba pada 21 Feb lalu.
Minggu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima suntikan pertama dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech melalui fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi.