Hospital swasta boleh bantu percepat vaksinasi, kata wakil MCA

Hospital swasta boleh bantu percepat vaksinasi, kata wakil MCA

Michael Chong berkata kerajaan boleh lebih fokus memberi vaksin kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Michael Chong tidak mahu orang ramai menderita akibat jangkitan virus itu seperti dialaminya.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu membenarkan hospital swasta menjalankan program vaksinasi mereka sendiri supaya Malaysia dapat mengimunisasi 70% penduduk dengan lebih cepat, kata Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Michael Chong.

Sebagai bekas pesakit Covid-19, beliau berkata adalah lebih baik vaksinasi dipercepatkan supaya tidak ramai yang perlu menderita di hospital seperti pernah dialaminya.

Chong disahkan positif pada 30 Dis lalu dan menghabiskan hampir sebulan di Hospital Sungai Buloh, termasuk beberapa hari di unit rawatan rapi.

“Saya juga mangsa Covid-19, jadi saya tahu kesakitannya apabila dijangkiti, terutama bagi warga emas,” katanya pada sidang media di Wisma MCA.

Walaupun dibenar keluar hospital pada 28 Jan, Chong berkata dia masih perlu mengeluarkan sejumlah besar wang untuk merawat kerosakan disebabkan virus tersebut pada paru-paru dan saraf di kakinya.

Mengakui pengambilan vaksin adalah “prosedur yang kompleks”, Chong berkata hospital perlu diberi kelonggaran untuk membeli vaksin yang dipersetujui secara langsung dari pengilang.

Katanya, jika kumpulan berisiko tinggi dapat membayar vaksin itu sendiri, maka kerajaan dapat menumpukan perhatian untuk memberi vaksin secara besar-besaran kepada mereka yang tidak mampu membayarnya.

Ini juga bermaksud, pengamal perubatan am dan doktor gigi, yang kini berada dalam kategori dua daripada senarai keutamaan program vaksinasi kebangsaan, dapat menerima vaksin lebih cepat.

“Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) mempunyai alasan untuk menyarankan agar larangan perjalanan antara negeri dan antara daerah dikekalkan sehingga kita memvaksin 70% penduduk.

“Hospital swasta dapat membantu mempercepatkan proses ini, jadi kami tidak perlu menunggu sehingga tahun depan. Ekonomi harus pulih,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh turut mendesak kerajaan untuk membenarkan anggota persatuan itu membeli bekalan vaksin mereka sendiri dan menguruskannya.

Beliau berkata, hospital swasta dapat dikerahkan untuk melengkapkan usaha Putrajaya dalam memastikan penduduk diberi vaksin dalam waktu sesingkat mungkin dan mencapai “imuniti kelompok”.

Ia ditimbulkan selepas Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata tidak ada peruntukan segera untuk hospital swasta membeli dan menjalankan program vaksinasi mereka sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.