Warisan ambil tindakan susulan terhadap ADUN keluar parti

Warisan ambil tindakan susulan terhadap ADUN keluar parti

Tindakan susulan berdasarkan ikrar kesetiaan kepada parti yang dilafazkan Hassan Gani pada September lalu, sebelum beliau menjadi calon Warisan di Sebatik.

Shafie (empat dari kanan) mengadakan pertemuan dengan semua Adun serta MP Warisan, di Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar Warisan)
KOTA KINABALU:
Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, parti itu akan mengambil tindakan susulan terhadap ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, yang baru-baru ini keluar parti itu untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tindakan susulan berdasarkan ikrar kesetiaan kepada parti yang dilafazkan Hassan pada September lalu, sebelum beliau menjadi calon Warisan di Sebatik.

“Kita akan serahkan kepada peguam untuk membuat tindakan susulan kerana ikrar itu dilafaz dan ditandangani oleh Hassan di hadapan semua peguam kami,” katanya pada sidang media.

Menurut Shafie, parti tidak memaksa Hassan melafazkan ikrar itu.

“Beliau juga melafazkannya dengan sukarela, semua calon Warisan juga berbuat demikian.”

Sementara itu, video Hassan melafazkan ikrar berkenaan disiarkan kepada media selepas Shafie mempengerusikan mesyuarat bersama semua ADUN dan Ahli Parlimen Warisan hari ini.

Dalam video itu, Hassan menandatangani surat melepaskan kedudukan ADUN yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri jika beliau melompat parti selepas menjadi wakil rakyat.

Video berkenaan dikatakan dirakam pada 10 Sept lalu sebelum Hassan menerima watikah pelantikan sebagai calon Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.