
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun seluruh dunia sedang menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan akibat penularan wabak Covid-19, Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan terbaik dan diminati pelabur asing.
Beliau berkata, kerajaan juga memaklumkan kepada mereka bahawa banyak syarikat multinasional sudah melabur di Malaysia ketika ini.
“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menarik sebanyak mungkin syarikat pelaburan asing dan tempatan untuk melabur di Malaysia pada masa depan.
“Saya percaya dengan pelaksanaan (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan), kerajaan dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur untuk datang melabur di Malaysia pada masa depan sekali gus meletakkan kadar pertumbuhan ekonomi negara di paras lebih baik tahun ini,” kata beliau kepada FMT ketika menghadiri Majlis Solat Hajat Perdana di Masjid Putra di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Azmin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi mengimbangi antara kepentingan menjaga nyawa rakyat dan ekonomi negara.
Berikutan itu, beliau melahirkan rasa syukur terhadap usaha kerajaan PN dalam suasana amat mencabar kerana dunia hari ini berdepan pelbagai bentuk cabaran termasuk krisis kesihatan dan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.
“Dengan komitmen dan ketekunan ditunjukkan oleh perdana menteri dan Jemaah Menteri … Alhamdulillah kita berupaya memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal dan juga pembukaan sektor ekonomi bermula,” kata beliau.
Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menzahirkan keyakinan bahawa proses pemulihan ekonomi negara akan bertambah rancak selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula Rabu lalu.
Malah, beliau berkata, Bank Dunia mengunjurkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 5.6 hingga 6.7% berikutan pelaksanaan program vaksinasi global.