
Katanya, langkah itu bukan hanya untuk melebarkan sayap, tetapi bertujuan memperkasa Warisan sebagai parti berbilang kaum di Malaysia.
”Ini bukan hanya cerita untuk kembangkan sayap kerana berdasarkan perlembagaan, kita boleh wujudkan cawangan di sana juga.
”Apa-apa perubahan dari segi perlembagaan tiada ada kena mengena dengan usaha mengembangkan sayap (Warisan ke Semenanjung), itu hanya untuk perkasakan sistem parti,” katanya kepada FMT.
Loretto berkata, langkah parti itu untuk bertapak di Semenanjung juga tidak menjejaskan perjuangan mereka di Sabah.
Katanya, parti itu lebih dilihat sebagai parti tempatan Sabah kerana ia ditubuhkan di negeri berkenaan.
”Tapi jangan lupa, kita ada barisan kepimpinan yang sudah biasa di peringkat persekutuan.
”Jadi inilah masanya, orang Sabah menyokong orang Sabah dan yakin dengan kebolehan kita.
”Kita tidak boleh mengatakan bahawa ‘Sabahan’ belum bersedia pergi (kembangkan sayap) ke Semenanjung. Kenapa? Kita ini ‘second class’ kah?,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, parti itu mengenal pasti beberapa kawasan yang akan diwujudkan bahagian Warisan di Semenanjung.
Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya akan diumumkan selepas segala proses penubuhan bahagian berkenaan selesai.
Terdahulu sebelum ini, Loretto pernah menyuarakan keyakinan bahawa mesej “perpaduan” yang akan dibawa oleh Warisan ke Semenanjung mampu memperoleh sokongan besar.
”Kita yakin dengan apa yang kita cakap dan pegang selama ini, iaitu ‘unity’. Biar Sabah tunjukkan jalan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan agung tahunan Warisan Dis lalu.