
Panel tiga hakim dipengerusikan Rohana Yusuf turut mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Koong Swee Kwan kerana cuba membunuh isteri Najadi, Cheong Mei Kuen.
Koong, 52, menembak Najadi di tempat meletak kereta Kuil Kuan Yin berhampiran Lorong Ceylon, Kuala Lumpur antara 1.30 hingga 2 petang pada 29 Julai 2013.
Ketika menolak rayuan itu, Rohana, yang bersidang berama Abdul Rahman Sebli dan Hasanah Mohammed Hashim berkata, hakim perbicaraan telah mempertimbangkan pembelaan dikemukakan tertuduh.
“Kami mendapati bukti kukuh berhubung perbuatan jenayah itu,” katanya.
Menurutnya, pembelaan dikemukakan tertuduh sekadar penafian, difikirkan kemudian dan direka.
Rohana berkata, Mahkamah Rayuan, yang mengekalkan keputusan hakim perbicaraan mendapati Koong bersalah bagi tuduhan bunuh dan cubaan membunuh, menggunakan dengan betul proviso dalam Akta Mahkamah Kehakiman.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, pilihan terakhir Koong kini adalah untuk memohon pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong kerana kesalahan itu berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Hisyam turut dibantu peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmad Fauzi hadir bagi pihak pendakwaan.
Koong dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebelum dihukum mati selepas didapati bersalah pada September 2014.
Bagaimanapun, pada 14 Dis 2016 panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya ketika itu, Zulkefli Ahmad Makinudin mengetepikan sabitan terhadap Koong dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula, atas alasan perbicaraan asal bersifat prejudis terhadapnya.