PKPD di 2 kampung di Sabah sehingga 21 Mac

PKPD di 2 kampung di Sabah sehingga 21 Mac

Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong terletak di daerah pedalaman Nabawan.

Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong di daerah Nabawan dikenakan PKPD mulai hari ini akibat lonjakan kes Covid-19 secara drastik.
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di dua kampung pedalaman mulai hari ini hingga 21 Mac akibat lonjakan kes Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong di daerah pedalaman Nabawan.

“Kementerian mengesahkan lonjakan kes secara drastik di dua lokaliti ini,” katanya dalam taklimat harian Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju dengan langkah itu selepas penilaian risiko oleh pelbagai agensi dengan nasihat daripada KKM.

Masidi berkata, kluster Sinsingon di Nabawan ialah punca di sebalik lonjakan kes Covid-19 di Sabah dalam tempoh 24 jam lalu dengan 157 kes dilaporkan.

Katanya, jangkitan daripada kluster itu menular ke tiga daerah, dengan 18 kes dikesan di Kota Kinabalu, 38 kes di Keningau dan 65 kes di Nabawan setakat ini, menjadikan keseluruhan 135 kes berpunca daripada kluster itu.

Beliau berkata, saringan sudah dilakukan ke atas 270 individu dalam kluster Sinsingon di Nabawan, yang mempunyai 370 penduduk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.