
Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan perlu sedar wujud kekurangan tenaga kerja mahir di negara ini.
Oktober lalu, Putrajaya memperkenalkan prosedur baharu berhubung pengambilan dan pengambilan semula pekerja asing dan ekspatriat untuk memudahkan pengambilan bakat tempatan.
Dalam bahasa rasmi Malaysia, “ekspatriat” hanya merujuk kepada pekerja asing dengan set kemahiran yang melebihi kemampuan pekerja manual.
Shamsuddin berkata, pekerja mahir di negara ini kini kurang daripada 30% tenaga kerja sedangkan di negara maju ia melebihi 50%.
Beliau turut menyebut tentang usaha yang dijalankan selama ini bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti tempatan dengan berkata, masalah utamanya ialah ramai daripada mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh pasaran.
“Sebagai contoh, apabila permintaan untuk pakar data raya mula meningkat, kita ada banyak lulusan IT tempatan, tetapi kurang pakar data raya. Banyak syarikat perlu mendapatkan bakat itu dari luar negara,” katanya.
“Universiti dan pihak berkuasa kita perlu bertindak balas lebih cepat terhadap permintaan pasaran kerana kita memerlukan masa dalam menyediakan pelajar untuk dunia pekerjaan.”
Katanya, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah isu lain, tetapi mengakui bahawa keadaan itu telah bertambah baik dalam beberapa tahun lepas.
“Penyelesaian yang ideal ialah meningkatkan penawaran bakat, dan tidak menjadikannya lebih sukar untuk mengisi jurang itu. Jika tidak, sukar bagi perniagaan untuk bergerak.
“Kerajaan boleh mengkaji semula dasarnya, tetapi hanya apabila bakat tempatan sudah tersedia,” katanya.
Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah berkata, syarikat multinasional memang mahu mengambil pekerja Malaysia kerana kosnya lebih rendah.
“Isunya adalah kualiti bakat tempatan dan kurangnya penguasaan bahasa Inggeris. Terdapat banyak graduan tempatan, tetapi masalahnya ialah kualiti.
“Ini adalah sesuatu yang saya sendiri alami. Saya mengambil lulusan perakaunan, tetapi mereka hanya mampu menyimpan kira-kira.”
Beliau berkata, ada bakat tempatan yang bagus, tetapi menambah bahawa ramai daripada mereka memilih untuk bekerja di Singapura kerana gaji yang lebih baik atau memilih untuk berniaga sendiri.
Keadaan itu tidak ideal bagi banyak syarikat yang mempunyai kontrak untuk dipenuhi, katanya.
“Bayangkan anda mempunyai kontrak untuk mengembangkan sistem IT dan pekerja meninggalkannya separuh jalan. Dengan bakat asing, mereka datang ke sini secara kontrak dan hanya mahu mendapatkan wang dan balik semula. Jadi gangguan yang mungkin berlaku dapat dikurangkan.”