Siar muzik melalui pembesar suara, pemilik restoran mohon perintah mahkamah

Siar muzik melalui pembesar suara, pemilik restoran mohon perintah mahkamah

Ini susulan tindakan polis mengeluarkan kompaun terhadap pelanggan restoran di Bangsar di mana muzik dimainkan Dis lalu.

Pelanggan sebuah restoran di Bangsar antara yang dikenakan kompaun oleh polis Dis lalu kerana premis itu memainkan muzik melalui pembesar suara. (Gambar Siva Shankar)
PETALING JAYA:
Seorang pemilik restoran memohon deklarasi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tidak termaktub di bawah Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 yang penyiaran muzik latar menggunakan pembesar suara memerlukan lesen.

Siva Shankar berkata, permohonan itu difailkan bulan lalu selepas polis mengeluarkan kompaun kepada pelanggan di dua buah restoran di Bangsar yang memainkan muzik seperti itu Dis lepas.

FMT melihat kompaun yang dikeluarkan polis di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 kepada seorang pelanggan yang didapati “memainkan muzik sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan) bersyarat dilaksanakan”.

Kata Siva, pegawai penguat kuasa yang mengeluarkan kompaun itu menjelaskan sebarang bentuk muzik dianggap sebagai “hiburan” dan jatuh di bawah akta berkenaan.

Bagaimanapun, pemilik restoran berumur 41 tahun itu berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah berganjak dalam pendiriannya bahawa muzik latar yang dimainkan melalui pembesar suara tidak dilesenkan di bawah Akta Hiburan dan tidak termaktub sebagai aktiviti hiburan.

“Kami bukan mahu menyaman DBKL. Kami hanya mahu memohon deklarasi bahawa menyiarkan muzik melalui pembesar suara bukanlah satu bentuk hiburan,” kata Siva.

“Sesiapa sahaja boleh memainkan muzik (seperti itu) dan kita tidak perlu lesen untuknya. Muzik (seperti itu) dimainkan di pasar raya, pusat membeli belah dan tempat awam yang lain.

“Ia tidak pernah tersenarai dalam senarai negatif (senarai aktiviti tidak dibenarkan) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.”

“Kami tidak ada pilihan lain selain memohon deklarasi ini bagi menjelaskan kedudukan sebenar berkaitan isu ini untuk kepentingan semua pemilik restoran dan bar, pihak polis, dan juga masyarakat umum,” katanya.

Terdahulu dalam komen kepada FMT selepas polis mengarahkan restoran dan bar di Jalan Telawi, Bangsar, menghentikan sementara penjualan alkohol Jumaat lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dilaporkan berkata, hanya muzik yang dimainkan melalui pembesar suara dibenar untuk dimainkan di premis sebegitu.

Pelanggan yang menerima kompaun dalam insiden berkenaan Dis lalu memberitahu FMT bahawa pegawai polis yang bertugas kelihatan “ragu-ragu” berkenaan hal itu.

Ghanendren Raghavan berkata, polis mengeluarkan kompaun kepada pelanggan yang didapati gagal menjaga jarak sosial antara satu sama lain, walaupun pada mulanya, pelanggan tersebut diberitahu bahawa kompaun dikeluarkan terhadap mereka kerana berada di kawasan yang memainkan muzik.

Sambil menyatakan yang beliau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti menjaga penjarakan sosial, mengehadkan bilangan orang untuk satu meja serta mengekalkan jarak antara meja, Ghanendran berkata, beliau bersedia didenda sekiranya memang benar telah melanggar SOP.

“Saya adalah rakyat yang mematuhi undang-undang.Saya tidak kisah didenda sekiranya saya tidak memakai pelitup muka atau tidak menggunakan MySejahtera … Kami boleh belajar daripada situ,” katanya.

“Tapi ini … Mereka mendenda kami atas sesuatu yang bukan pun satu kesalahan. Saya tidak tahu kenapa. Adakah kerana virus boleh tersebar melalui pembesar suara?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.