Mahkamah putuskan Perkasa fitnah Guan Eng dengan label ‘pengkhianat’

Mahkamah putuskan Perkasa fitnah Guan Eng dengan label ‘pengkhianat’

Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Lim Guan Eng akan menerima ganti rugi RM150,000.

Lim Guan Eng.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman majoriti 2-1 hari ini, membenarkan rayuan Lim Guan Eng terhadap kumpulan memperjuangkan hak orang Melayu, Perkasa yang melabelkannya pengkhianat kerana didakwa mendedahkan rahsia negara kepada kerajaan Singapura.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal berkata, reputasi ialah faktor, tidak kira sama ada plaintif memfailkan saman fitnah atas kapasiti peribadi atau umumnya.

Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menerima ganti rugi RM150,000.

Hakim Nallini Pathmanathan, yang mempengerusikan panel tiga hakim, bersetuju dengan Harmindar, yang menyampaikan penghakiman itu.

Hakim Abdul Rahman Sebli, ketika menolak rayuan itu, berkata Lim memfailkan saman itu atas kapasiti rasminya.

Katanya, saman Lim mempunyai kelemahan sejak awal kerana beliau tidak diwakili pegawai perundangan kerajaan seperti diperuntukkan di bawah Akta Prosiding Kerajaan atau peguam swasta yang mewakilinya mempunyai lesen daripada penasihat undang-undang negeri.

Pada 2012, Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, menyaman Perkasa, Presidennya Ibrahim Ali, Ketua Penerangan ketika itu Ruslan Kassim, The New Straits Times Press serta Utusan Melayu.

Americk Sidhu, yang mewakili Lim, bagaimanapun menarik balik rayuan terhadap Ruslan sebelum pendengaran pada September 2020, selepas peguam Adnan Seman memaklumkan mahkamah yang Ruslan meninggal dunia beberapa hari sebelumnya.

Pada Julai 2019, Mahkamah Persekutuan membenarkan Lim merayu terhadap persoalan undang-undang sama ada setiausaha agung DAP dan bekas menteri kewangan itu mempunyai locus standi untuk mempertahankan saman itu atas kapasiti rasminya.

Lim bergantung kepada penghakiman mahkamah atasan itu pada September 2018 yang kerajaan boleh menyaman rakyat atas fitnah, enggan menerima prinsip Derbyshire undang-undang umum yang pihak berkuasa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap seseorang kerana menjatuhkan reputasi mereka.

Pada 21 Dis 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Perkasa dan dua penerbit untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada Lim kerana memfitnahnya.

Mahkamah itu memutuskan Lim tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kapasiti rasminya.

Hakim Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) ketika itu berkata mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana berpegang dengan keputusannya dalam kes Utusan Melayu (M) Bhd lawan Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob bahawa pegawai awam tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi masing-masing.

Rohana berkata, mahkamah menerima prinsip yang diputuskan di Derbyshire.

Hakim Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf (kini presiden Mahkamah Rayuan) berkata, mahkamah berpegang kepada keputusannya dalam kes Utusan Melayu lawan bekas menteri besar Pahang, Adnan Yaakob yang pegawai awam tidak boleh menyaman sesiapa pun, termasuk media, kerana memfitnah.

Rohana berkata, mahkamah menerima prinsip yang diputuskan dalam satu kes undang-undang Britain, Derbyshire County Council lawan The Times Newspapers Ltd & Others (1993).

Bagaimanapun, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam satu lagi kes pada September 2018 yang kerajaan boleh menyaman kerana memfitnah, penerbit mengetepikan rayuan mereka, bersetuju untuk akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan masing-masing membayar ganti rugi RM200,000 kepada Lim.

Lim memfailkan saman itu difailkan pada 2012 terhadap tujuh responden, dengan berkata Ruslan menerbit satu kenyataan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011, yang membayangkan beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.