
Ismail berkata, program vaksinasi fasa pertama membabitkan angkatan tentera ini akan membabitkan anggota yang terlibat secara aktif mengesan dan merawat pesakit Covid-19, serta yang terlibat dalam penugasan program vaksinasi.
“Kumpulan sasar pertama juga akan melibatkan anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi, seperti Ops Penawar di sekatan jalan raya bersama anggota polis.
“Begitu juga dengan anggota bertugas di Ops Benteng, bagi mengawal sempadan negara serta mereka yang terlibat dalam operasi ke luar negara,” katanya dalam sidang media, selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Pemberian vaksin ini turut disasarkan kepada pegawai dan anggota tentera yang terbabit secara langsung dalam mengoperasikan aset pertahanan strategik, seperti pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal selam, kapal, helikopter, pasukan khas dan aset khusus lain.
“Serta, mana-mana anggota terbabit mengendalikan aset yang tidak boleh dikendalikan mana-mana pegawai lain yang tidak dilatih khas. ATM menjadualkan pemberian vaksin ini bermula semalam, terutamanya bagi para petugas vaksinasi ATM.
“Jururawat yang terlibat untuk lakukan suntikan ini sudah di vaksin pada semalam.
“Turut sama menerima suntikan vaksin adalah 14 pegawai dan anggota yang akan terlibat dalam misi pemantau antarabangsa di Mindanao, Filipina. Di samping itu, 40 anggota kumpulan wanita kedua ATM akan menerima vaksin esok, sebagai sebahagian dari program perlindungan kesihatan sebelum bertugas di Lubnan,” katanya.
Ismail yang turut menerima suntikan vaksin berkenaan menggesa orang ramai untuk tidak lagi mempercayai berita-berita palsu membabitkan vaksin ini.
Vaksin ini untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, katanya.
“Jangan bimbang, tidak ada perkara yang perlu dibimbangkan. Jangan dengar cerita yang tidak sahih. Saya hendak beritahu, saya juga tidak sedar suntikan sudah selesai, tengah borak-borak dengan jururawat tadi, dia beritahu saya sudah selesai. Maknanya tidak terasa sakit apa-apapun,” katanya.