
Mereka berkata, kebanyakan pendatang ini juga tidak berpendidikan dan memerlukan penjelasan yang lebih tepat agar kerajaan berjaya mencapai sasaran untuk mengembangkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.
Pakar perubatan kesihatan awam Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, negara lain sudah memberikan sokongan Covid-19 dalam pelbagai bahasa, sementara laman web rasmi vaksin negara hanya dalam satu bahasa.
“Jika anda ingin mendekati pendatang ini, perlu ada komunikasi risiko yang berkesan.
“Mengenepikan mereka tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya ketika forum dalam talian bertajuk “Covid-19: Seeking solutions for foreign workers” yang dihoskan oleh G25 Malaysia.
Sehingga 2019, pendatang di Malaysia dianggarkan berjumlah 3.43 juta, kebanyakannya tanpa dokumen yang sah.
Perunding kesihatan awam Dr Yap Wei Aun berkata, langkah kerajaan untuk memberi vaksin kepada pendatang asing, tanpa mengira status mereka, adalah terpuji, namun masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan mereka mendapat akses penjagaan kesihatan yang sama bagi memastikan lengkuk Covid-19 diratakan.
Katanya, 37% pendatang asing di negara ini dijangkiti Covid-19 dan 11% meninggal dunia.
Beliau mengingatkan bahawa, mengenepikan populasi tertentu, dengan menganggap mereka “tidak layak”, mengakibatkan penularan wabak polio di Sabah. “Ia akhirnya menyebabkan negara menanggung lebih banyak beban kewangan dan kesukaran.”
Adrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan menggariskan, kerajaan perlu menepati janji tidak akan ada tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang haram yang tampil untuk mendapatkan suntikan mereka.
Katanya, wujud salah faham yang besar berhubung masalah kesihatan dan keselamatan, yang diburukkan lagi apabila negara menghantar pulang lebih 1,000 pendatang ke Myanmar awal minggu ini.
“Penguatkuasaan moratorium sepanjang tempoh vaksinasi adalah kunci untuk menarik lebih ramai pendatang keluar,” katanya.
Katanya, untuk menanamkan keyakinan yang lebih berkesan, pemimpin pendatang perlu memainkan peranan penting.
“Pemimpin ini akan menjelaskan kepada kita mengenai kompetensi komunikasi budaya yang tidak wujud dalam sistem kesihatan kita.
“Kumpulan diaspora, yang telah menjadi warganegara Malaysia, dapat membantu merapatkan jurang kepercayaan dalam pelaksanaan vaksin ini.
“Pihak berkuasa perlu memahami bahawa tidak ada yang selamat melainkan semuanya selamat.”
Forum itu dikendalikan oleh Adeeba Kamarulzaman dari G25.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karex Berhad, Goh Miah Kiat.