
Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan terhadap penghantaran pulang itu, yang menyusul beberapa jam selepas mahkamah mengeluarkan perintah menghentikan rancangan itu, di sebalik rampasan kuasa di Myanmar dengan kebimbangan pelarian serta kanak-kanak akan menjadi antara mereka yang dihantar pulang.
Ketika NGO di Malaysia dan negara lain mengecam penghantaran pulang itu, Asean dan negara anggotanya berdiam diri berhubung perkara itu, sebahagian besarnya disebabkan penekanan sekian lama blok serantau untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.
James Chin, pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, berkata kerajaan akan terlepas dengan hanya “amaran atau hukuman ringan” daripada EU atau AS, manakala Thomas Benjamin Daniel, penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), yakin Asean tidak akan terbabit kerana penghantaran pulang itu ialah “urusan dalaman” antara dua negara anggota berdaulat.
“Sudah tentu, AS dan EU tidak gembira dengan perkara ini, tetapi mereka tahu kedudukan Malaysia sekian lama.
“Masalahnya adalah Malaysia takut berlaku penghijrahan besar-besaran dari Myanmar disebabkan krisis di sana.
“Jadi, saya fikir walaupun EU dan AS akan beritahu Malaysia mereka tidak gembira, mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan,” kata Chin kepada FMT.
Myanmar berdepan protes sejak tentera merampas kuasa 1 Feb lalu, dengan gerakan ketidakpatuhan sivil memenuhi jalan raya di seluruh negara bagi mendesak untuk mengembalikan demokrasi, di mana mereka diserang junta yang menggunakan kekerasan.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa terbunuh dalam demonstrasi sehingga kini.
Selain bimbang komuniti minoriti yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan di Myanmar akan dihantar pulang pada Selasa lalu, Amnesty International berkata, sekurang-kurangnya tiga pemegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan 17 kanak-kanak yang sekurang-kurangnya mempunyai seorang ibu atau bapa di Malaysia akan dihantar pulang.
Chin berkata: “Sudah tentu imej Malaysia rosak kerana simpati kuat antarabangsa terhadap pelarian ini, dan saya fikir orang ramai terkejut dengan tindakan sangat pantas kerajaan walaupun terdapat perintah mahkamah.”
“Tetapi di Asean, saya tidak fikir ia adalah isu besar. Reaksinya akan dikurangkan, sekurang-kurangnya secara rasmi, walaupun NGO tidak gembira.”
Ditanya sama ada kerajaan mengambil risiko terhadap reputasinya dengan meneruskan penghantaran pulang itu, katanya: “Saya fikir dari segi kepimpinan Malaysia, mereka hanya mahu menyingkirkan mereka (warga Myanmar) secepat mungkin.”
Daniel bagaimanapun mendapati terdapat risiko junta akan menggunakan penghantaran pulang itu untuk meningkatkan kepercayaan terhadap diri mereka di dalam dan luar negara.
Pada masa sama, katanya, Malaysia mungkin dikecam penunjuk perasaan anti-Tatmadaw (tentera Myanmar) memperjuangkan demokrasi dikembalikan di Myanmar, yang mengkritik kerajaan Thailand, Singapura dan Indonesia kerana merasakan negara itu memberikan sokongan kepada junta.
“Dalam kalangan mereka yang memperjuangkan hak dan perlindungan pelarian serta pencari suaka, penghantaran pulang itu, walaupun terdapat perintah mahkamah, tidak akan diterima dengan baik.
“Tetapi, jika anda bercakap mengenai kerajaan, tidak banyak. Kerajaan tidak selalu mempunyai kelebihan untuk bertindak terhadap idealisme. Mereka perlu bertindak berdasarkan apa yang ada.
“Malaysia perlu berdepan sesiapa saja yang berkuasa di Myanmar, tidak kira bagaimana mereka mencapainya.”