Undang-undang syariah Selangor berhubung seks luar tabii bercanggah perlembagaan, kata Mahkamah Persekutuan

Undang-undang syariah Selangor berhubung seks luar tabii bercanggah perlembagaan, kata Mahkamah Persekutuan

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 ‘tidak konsisten dan tidak sah’.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

“Seksyen yang diluluskan itu juga bertentangan dengan Senarai Negeri di bawah perlembagaan persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 tidak konsisten dan tidak sah,” kata beliau dalam keputusan yang disampaikan melalui prosiding maya.

Hakim lain dalam panel tersebut adalah presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf; Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Seorang pemohon berusia 35 tahun, yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, memohon deklarasi bahawa Seksyen 28 adalah tidak menepati perlembagaan.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie mengemukakan tuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen tersebut terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Dia didakwa cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 Nov 2018.

Lelaki itu, yang diwakili peguam A Surendra Ananth dan Malik Imtiaz Sarwar, meminta dibicarakan, tetapi prosiding ditangguhkan sementara menunggu keputusan bantahan perlembagaan di Mahkamah Persekutuan.

Penasihat undang-undang Selangor Salim Soib @ Hamid mewakili kerajaan negeri sebagai responden, dan peguam Halimatunsa’diah Abu Ahmad mewakili Majlis Agama Islam Selangor sebagai responden kedua.

Peguam Rahim Sinwan mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.