
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata bertindak hasil maklumat, polis menjalankan pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri yang juga majikan kepada pembantu rumah berusia 30-an itu pada 9.30 malam tadi.
“Kami menerima maklumat daripada beberapa individu berhubung kejadian dera dan polis telah ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada di sebuah bilik dalam keadaan lemah.
“Pemeriksaan awal terhadap fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan kesan calar di badan serta kakinya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pembantu rumah yang bekerja dengan majikannya sejak dua tahun lepas itu memberitahu dia didera dengan cara dipukul, disimbah air panas, cubitan dan sebagainya oleh majikan wanitanya sejak setahun lepas.
Shafee berkata mangsa kini dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan dan polis akan mengambil keterangan mangsa untuk siasatan lanjut.
Berikutan itu, beliau berkata pasangan suami isteri berusia 50-an dan 60-an itu ditahan dan direman untuk siasatan kes mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007.
Difahamkan sepanjang mangsa bekerja di situ dia dibayar gaji namun majikannya mengabaikan dari segi kebajikan termasuk makanan.