Polis panggil Santiago beri keterangan berhubung kenyataan kes Malaysiakini

Polis panggil Santiago beri keterangan berhubung kenyataan kes Malaysiakini

Kenyataan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago akan direkodkan Bukit Aman pada Isnin.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata tugasnya sebagai Ahli Parlimen untuk bersuara.
PETALING JAYA:
Polis meminta Ahli Parlimen Klang Charles Santiago hadir ke Bukit Aman minggu depan selepas laporan polis dibuat terhadapnya kerana komen berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Malaysiakini.

Santiago berkata di Twitter, beliau akan menemui polis pada 10.30 pagi 1 Mac untuk direkod kenyataan.

Awal minggu ini, kertas siasatan bawah undang-undang hasutan serta multimedia dibuka terhadapnya dan Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan selepas Mahkamah Persekutuan mendapati portal berita itu menghina mahkamah, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Muda Adzli Abu Shah mengesahkan dua laporan polis berasingan dibuat oleh individu daripada organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Gurun, Kedah.

Santiago sebelum ini memberitahu FMT beliau menggunakan hak asasinya untuk kebebasan bersuara dan sepatutnya boleh menyuarakan pandangannya tanpa rasa takut.

Pemimpin DAP itu juga berkata, menjadi kewajipannya sebagai Ahli Parlimen untuk bersuara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak sebulat suara. Ada penghakiman yang bertentangan,” katanya dengan menambah, laporan polis kini seolah-olah menjadi norma baharu di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.