KP Imigresen patut dipertanggungjawab atas penghantaran pulang, kata kumpulan hak asasi

KP Imigresen patut dipertanggungjawab atas penghantaran pulang, kata kumpulan hak asasi

Suaram berkata Khairul Dzaimee Daud perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Lebih daripada 1,000 warga Myanmar dihantar pulang dari pangkalan tentera laut Lumut di Perak pada Selasa. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut mengkritik Jabatan Imigresen berhubung penghantaran pulang warga Myanmar, dengan berkata ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud, perlu dipertanggungjawabkan.

Jabatan itu menghantar pulang 1,086 warga Myanmar dari pangkalan tentera laut di Lumut pada Selasa walaupun perintah mahkamah memerintahkan langkah dihentikan sementara.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara keputusan Putrajaya untuk menghantar pulang 1,200 warga Myanmar sehingga satu keputusan dibuat mengenai cabaran dua kumpulan hak asasi manusia terhadap penghantaran pulang itu.

“Ketua pengarah imigresen perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan,” kata pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

“Sampai sekarang, belum ada penjelasan daripada pihaknya.”

Justeru Sevan berkata, kerajaan perlu menghentikan semua rancangan masa depan untuk merekrut pekerja asing memandangkan jumlah pendatang dan pelarian tanpa dokumen yang sedia ada di negara ini.

“Sekiranya ada keperluan untuk lebih banyak tenaga kerja (asing) di Malaysia, mereka (pendatang dan pelarian tanpa dokumen) perlu disahkan dan digunakan sebagai ganti,” katanya.

Katanya, tindakan sedemikian juga akan menamatkan rasuah melibatkan pengambilan pekerja asing.

Kira-kira tiga juta pendatang tanpa dokumen berada di negara ini.

NGO menyuarakan kebimbangan masyarakat minoriti Chin, Kachin dan bukan-Rohingya yang melarikan diri dari konflik dan penganiayaan di negara mereka adalah antara mereka yang akan dihantar pulang.

Tiga pemegang dokumen Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan 17 kanak-kanak bawah umur yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa masih berada di Malaysia juga dipercayai antara mereka yang dihantar ke Lumut untuk dihantar pulang.

John Quinley, pakar hak asasi manusia di Fortify Rights, sebuah kumpulan bebas yang memfokuskan pada Asia Tenggara, menggesa kerajaan membenarkan wakil UNHCR ke pusat tahanan untuk membuat penilaian perlindungan.

“Ini adalah salah satu langkah praktikal pertama yang perlu diambil pihak berkuasa dalam memastikan hak pelarian, pendatang dan lain-lain,” katanya.

“Malaysia sepatutnya menjadi pemberi harapan kepada orang yang memerlukan perlindungan dan keselamatan.

“Sebaliknya, pihak berkuasa menghantar semula warga Myanmar ke sebuah negara yang dipimpin oleh tentera yang melakukan beberapa jenayah paling mengerikan.”

Pada Selasa, Majlis Peguam berkata penghantaran pulang itu mungkin menghina mahkamah, dengan Ketua Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen, M Ramachelvam menegaskan bahawa Jabatan Imigresen akan mengetahui berkenaan perintah penahanan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.