Majlis Raja-Raja akan putuskan status fahaman “Ibu Yati”, kata Jakim

Majlis Raja-Raja akan putuskan status fahaman “Ibu Yati”, kata Jakim

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam sudah menyerahkan keputusannya mengenai status fahaman "Ibu Yati" kepada Majlis Raja-Raja.

Abdul Aziz Jusoh. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Aziz Jusoh berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam sudah menyerahkan keputusannya mengenai status fahaman “Ibu Yati” yang dikatakan sesat untuk ditentukan Majlis Raja-Raja.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 minggu lalu.

“Setakat ini, saya tidak boleh mendedahkan keputusan muzakarah dan kita tunggu keputusan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Covid-19 dan pelepasan konvoi bantuan bencana pasca banjir ke Kelantan, oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad.

Pada 2 Feb, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, dilapor berkata Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman sedang menyiasat kes membabitkan seorang wanita yang dikenali sebagai Ibu Yati yang didakwa membawa fahaman sesat.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan dilapor menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan fahaman itu yang didakwa menggunakan lafaz syahadah pelik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.