
Hakim Mariana Yahya mendengar hujah daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili Jabatan Imigresen dan kerajaan, dan peguam kanan Ambiga Sreenevasan semasa perbicaraan dalam talian hari ini.
Perintah interim yang melarang sebarang pengusiran juga sah hingga 9 Mac, kata peguam bersama New Sin Yew.
Jabatan Imigresen telah menghantar pulang lebih 1,000 warga Myanmar melalui tiga kapal tentera laut Myanmar dari pangkalan tentera laut Lumut di Perak semalam, walaupun perintah mahkamah sebelumnya melarang mereka berbuat demikian.
Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan kerajaan itu, yang disifatkan “keterlaluan dan tidak boleh diterima”.
Pada Isnin, Asylum Access Global dan Amnesty International Malaysia memfailkan bantahan terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang 20 warga Myanmar ke negara mereka.
Ini melibatkan tiga pemegang kad UNHCR warga Myanmar dan 17 kanak-kanak.
Susulan itu, kedua-dua kumpulan tersebut juga mahu mahkamah menarik semula keputusan kerajaan untuk menghantar pulang 1,086 warga Myanmar ke Yangon.
Kumpulan-kumpulan hak asasi tersebut mendakwa keputusan untuk menghantar pulang pemegang kad UNHCR ke Myanmar akan membahayakan mereka.
“Ini juga bertentangan dengan kewajipan Malaysia di bawah perjanjian Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.
“Kanak-kanak itu akan berpisah dengan ibu bapa mereka di sini,” kata kumpulan-kumpulan itu.