Mahkamah benarkan SPRM lucut hak RM1.5 juta daripada pengarah MonSpace

Mahkamah benarkan SPRM lucut hak RM1.5 juta daripada pengarah MonSpace

Tiada tuntutan pihak ketiga wang itu yang dilaporkan hasil aktiviti haram.

SPRM membekukan akaun syarikat jualan langsung MonSpace dan memfailkan permohonan untuk melucut hak wang berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melucut hak RM1.5 juta daripada pengarah MonSpace (M) Sdn Bhd Jessy Lai Chai Suang yang dipercayai hasil aktiviti haram.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai berkata, pesuruhjaya kehakiman Aslam Zainuddin membenarkan permohonan itu kerana tiada sesiapapun, termasuk Lai tampil membuat tuntutan pihak ketiga.

Tahun lalu, SPRM membekukan akaun syarikat berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Susulan itu, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang berkenaan.

Pihak terlibat boleh memfailkan tuntutan di mahkamah untuk wang itu dipulangkan, tetapi perlu menunjukkan bukti ia bukan hasil aktiviti haram.

Allan berkata, mahkamah membenarkan pelucutan hak itu kerana tiada sesiapa yang tampil membuat tuntutan mengikut Seksyen 28E AMLATFPUAA, iaitu berkaitan penerimaan wang tunai dari luar negara.

Menurut laporan sebelum ini, Lai adalah pengasas dan ketua pegawai eksekutif firma jualan langsung MonSpace.

Pada 25 Julai 2018, laporan mengatakan 16 premis MonSpace di Ipoh dan Lembah Klang telah diserbu sehari sebelumnya susulan siasatan pihak berkuasa di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 serta AMLATFPUAA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.