Ingkar perintah mahkamah? Kumpulan NGO gesa imigresen, KDN dipertanggungjawabkan

Ingkar perintah mahkamah? Kumpulan NGO gesa imigresen, KDN dipertanggungjawabkan

Sekumpulan NGO menyifatkan tindakan meneruskan penghantaran pulang warga Myanmar sebagai menghina mahkamah.

Kapal tentera laut Myanmar meninggalkan pangkalan di Lumut, Perak, semalam dengan lebih 1,000 warganegaranya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa mahkamah memastikan imigresen dan Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab atas tindakan menghantar pulang 1,086 warga Myanmar, walaupun mahkamah memerintahkan penangguhan.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 37 pertubuhan dan 10 individu itu, mereka menegaskan betapa pentingnya mahkamah menegakkan keadilan secara berwibawa.

“Tindakan mengingkari perintah Mahkamah Tinggi adalah satu perbuatan yang menghina mahkamah dan adalah merupakan satu kesalahan bawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan yang harus dikecam.

“Pengingkaran perintah mahkamah harus dipandang berat untuk memberi jaminan keadilan dan ketekalan undang-undang kepada semua sektor bukan sahaja sektor hak asasi manusia namun sektor perniagaan dan perindustrian supaya badan kehakiman tidak kehilangan integriti,” kata mereka.

Merujuk kepada isu keputusan mahkamah terhadap laman berita Malaysiakini minggu lalu, mereka mengingatkan mahkamah bahawa badan kehakiman kini diperhatikan orang ramai dalam dan luar negara.

Human Rights Watch semalam menyeru supaya Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud digantung tugas dan siasatan terhadap penghantaran pulang warga Myanmar dimulakan.

Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan interim untuk menghalang kerajaan menghantar pulang kira-kira 1,200 pelarian Myanmar dan pencari suaka ke tanah air mereka pagi semalam, imigresen mengizinkan tiga kapal tentera laut Myanmar untuk mengambil mereka dari pangkalan tentera laut Lumut di Perak beberapa jam kemudian.

Majlis Peguam berkata, pengusiran tersebut mungkin setara dengan penghinaan terhadap mahkamah, dengan pengerusi bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen M Ramachelvam mendakwa imigresen sepatutnya maklum akan perintah penangguhan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.