
Santiago berkata prosedur standard dalam pemulangan sukarela mesti melibatkan borang persetujuan yang ditandatangani oleh pendatang yang dihantar pulang dalam bahasa ibunda.
“Dokumen itu mesti dikembalikan dan mengakui bahawa individu tersebut memahami (alasan untuk dihantar pulang).
“Ia tidak boleh dalam bahasa lain tetapi bahasa ibunda individu yang berkenaan,” katanya pada sidang media bersama dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan NGO lain.
Santiago meminta imigresen menunjukkan dokumen yang membuktikan jabatan itu memperoleh tandatangan dari semua 1,086 pendatang yang dihantar pulang.
Katanya, kegagalan berbuat demikian bermakna kerajaan memaksa mereka dihantar pulang dan melanggar piagam Asean, mengenai amalan demokrasi dan urus tadbir baik.
“Malaysia, yang mengkritik perkembangan di Myanmar dalam kenyataan menteri luar, kini melakukan urusan pintu belakang dengan kerajaan Myanmar. Mungkin ini ialah hubungan antara dua kerajaan tidak dipilih rakyat,” sindirnya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara untuk menghalang kerajaan meneruskan penghantaran pulang kira-kira 1,200 pelarian Myanmar ke tanah air mereka pagi semalam.
Bagaimanapun, imigresen membenarkan tiga kapal tentera laut Myanmar membawa pulang 1,086 orang dari pangkalan tentera laut Lumut, dengan Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud menegaskan mereka bukan daripada etnik Rohingya atau pencari suaka.
“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, hakikatnya Khairul tahu mengenai perintah mahkamah itu kerana peguamnya hadir di mahkamah semalam.
Ditanya jika langkah itu boleh dianggap menghina mahkamah, Sivarasa berkata, lebih baik tanya peguam yang menghadiri prosiding penangguhan itu di mahkamah.
“Bagi saya, ia agak jelas. Anda tahu mengenai perintah itu dan anda sengaja tidak mematuhi perintah mahkamah.”
Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP, Kasthuri Patto turut menggesa kerajaan menjelaskan keputusan meneruskan penghantaran pulang itu, walaupun mahkamah sudah mengeluarkan perintah penangguhan.
Disebabkan imigresen hanya menghantar pulang 1,086 daripada 1,200 pelarian, Kasthuri turut mempertikaikan apa yang berlaku kepada baki pelarian terbabit.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, kes itu ialah peluang untuk kerajaan mengkaji dasar komprehensif untuk menguruskan situasi pendatang asing di Malaysia dalam jangka panjang.
Debbie Stothard dari International Federation for Human Rights berkata, pelarian yang dihantar pulang itu boleh dianggap pencari suaka akibat rampasan kuasa berterusan di Myanmar.