
Semalam, video yang memaparkan kereta jenis Myvi dipandu laju merempuh sebuah van dan Proton Waja itu tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Azman Shari’at berkata ujian dadah dan alkohol yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif.
“Ujian tambahan turut dilakukan dengan mengambil sampel darah selain kenderaan terlibat akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan pakar tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memohon saksi bebas terutama yang merakam kejadian menerusi dash-cam sebelum kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
Semalam, Azman berkata polis menahan suspek berusia 26 tahun itu kerana disyaki memandu secara melulu sehingga melanggar van yang berada di hadapan sebelum terbabas mengakibatkan pemandu van berkenaan cedera parah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.