
Bekas presidennya, Najib Razak pula berkata, bekas ahli yang ingin kembali kepada Umno tidak boleh menetapkan sebarang syarat, sebaliknya perlu menerima dasar parti itu dan mereka yang ada di dalamnya.
Mereka berkata demikian susulan spekulasi mengenai bekas ahli yang ingin kembali ke pangkuan parti itu, termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang dalam wawancara baru-baru ini berkata, beliau tidak boleh kembali kepada Umno jika “penyangak” tertentu masih berada di dalamnya.
Tengku Adnan berkata, bekas ahli yang mahu kembali menyertai Umno sewajarnya menyertai bengkel atau kelas khas untuk memahami asas dan tujuan penubuhan Umno.
“Fahami dan hayati setiap nilai perjuangannya kerana tentunya tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat ‘u-turn’ di atas jalan raya,” tulisnya di Facebook.
Beliau berkata, walaupun pentas politik sentiasa berubah, tetapi Umno perlu tegas terhadap “mereka yang bermuka-muka”.
“Tentulah tak wajar pada mana-mana individu yang menjilat ludah untuk diangkat sebagai teraju kembali, walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.
“Umno ditekan, dihimpit, dinafikan dalam pelbagai aspek. Akaun dibekukan dan mana-mana pemimpinnya yang masih setia pada perjuangan hakiki, diheret ke mahkamah atas macam-macam pertuduhan yang ada di antaranya di luar kewarasan akal fikiran.”
Sementara itu, Najib menerusi wawancara dengan Astro Awani berkata, bekas ahli yang ingin kembali bersama Umno boleh dipertimbangkan.
“Namun, mereka tidak boleh kenakan syarat, dia kena terima. Dia mahu masuk Umno, terimalah dasar Umno, terimalah sesiapa yang ada dalam Umno.
“Umno adalah parti yang bukan milik mana-mana individu atau presiden parti sekalipun, ataupun bekas presiden parti, tidak! Umno adalah milik tiga juta ahlinya.”