2 harimau tak boleh berada di bukit sama, penganalisis terangkan kenapa PN goyah

2 harimau tak boleh berada di bukit sama, penganalisis terangkan kenapa PN goyah

James Chin berkata Perikatan Nasional tidak stabil kerana Umno dan PPBM berebut sokongan orang Melayu.

PETALING JAYA:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa tidak stabil kerana terdapat dua parti Melayu mahu menjadi dominan, kata seorang penganalisis.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, parti terbabit adalah Umno dan PPBM yang merupakan memerintah.

Merujuk kepada satu pepatah Cina, Chin berkata: “Dua harimau tak boleh berada di bukit yang sama.”

Chin bercakap pada forum “Malaysia Outlook and Economic 2021” anjuran KSI Institute For Asia Pacific dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC) pagi tadi.

Katanya, Barisan Nasional (BN), yang memerintah Malaysia selama 61 tahun itu hingga kejatuhannya pada pilihan raya umum (PRU) 2018, stabil kerana ia hanya mempunyai satu parti Melayu sebagai teras.

“Ambillah seberapa banyak parti mewakili kumpulan berkepentingan atau etnik, hanya satu parti Melayu boleh menjadi terasnya. Itulah sebabnya gabungan itu sangat stabil.”

Chin berkata, ketidakstabilan dalam kerajaan PN disebabkan parti komponen saling bersaing untuk menarik sokongan daripada pengundi Melayu.

Ini bermakna Umno, PPBM, dan PAS berebut 110 kerusi majoriti Melayu di luar bandar dan dengan cara hanya satu “pemenang” akan muncul pada pilihan raya umum akan datang.

Pada PRU lalu, undi orang Melayu berpecah tiga hala.

“Mereka mahu pastikan senario itu tidak berulang dan hanya ada satu parti yang terang-terang menguasai kerusi Melayu,” katanya.

Katanya, PN hanya akan stabil dengan satu parti Melayu menjadi dominan.

Pengerusi Pemuda MCA, Nicole Wong, berkata keputusan PRU akan datang mungkin sekali mencerminkan situasi sekarang, iaitu tiada satu gabungan yang mendapat majoriti dan sokongan yang kukuh.

“Gabungan pemerintah akan terus diperas oleh Ahli Parlimen yang mengancam akan menarik sokongan kecuali tuntutan mereka dipenuhi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.