Polis selamatkan wanita warga asing mangsa eksploitasi seks

Polis selamatkan wanita warga asing mangsa eksploitasi seks

Seorang lelaki tempatan mengaku mengurus dan menghantar mangsa untuk melacur selepas menawarkan perkhidmatan menerusi aplikasi Locanto.

Suspek ditahan di depan sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.
KUALA LUMPUR:
Bertindak atas maklumat penawaran khidmat seks dalam talian menggunakan aplikasi Locanto, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di hadapan sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata berikutan penahanan lelaki berkenaan, polis turut berjaya menyelamatkan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun, yang disyaki menjadi mangsa exploitasi seks.

Menurut Nik Ezanee suspek berkenaan berperanan sebagai ‘transporter’ kepada mangsa, dan mengaku berperanan mengurus dan menghantar wanita berkenaan bertemu pelanggan untuk dijadikan pelacur.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki lain dikenali sebagai ‘Kenny’ selama dua bulan, dan menerima upah sebanyak RM1,600 sebulan.

“Mangsa (wanita warga asing) juga turut mengaku bekerja sebagai pelacur, dengan menawarkan perkhidmatan seks sebanyak RM320 (setiap pelanggan) serta baru sahaja bekerja selama kira-kira tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, turut dirampas daripada suspek adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Nissan Latio dan wang tunai berjumlah RM415.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini, manakala mangsa pula ditempatkan di Rumah Perlindungan Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut,” katanya.

Nik Ezanee berkata kes disiasat di bawah Seksyen 12 dan 21 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.