Operasi R&R di kawasan PKPB dilanjutkan hingga tengah malam

Operasi R&R di kawasan PKPB dilanjutkan hingga tengah malam

PLUS nasihat pelanggan buat pra-pesanan makanan menerusi aplikasi atau laman webnya.

PLUS berharap langkah melanjutkan tempoh operasi R&R di kawasan PKPB dapat membantu meningkatkan perniagaan untuk pengusaha gerai. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melanjutkan operasi premis makanan dan minuman di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya hingga tengah malam di negeri-negeri yang melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Pengarah Urusan PLUS Azman Ismail dalam kenyataan semalam berkata, bagi negeri-negeri di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP), ia kekal beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam.

“Selari dengan prosedur operasi standard (SOP) PKPB, waktu operasi terkini dan kapasiti tempat duduk berdasarkan kepada saiz meja sudah pasti memudahkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan bersama keluarga atau kumpulan pekerja untuk makan bersama.

“Kami berharap langkah ini dapat membantu meningkatkan perniagaan kepada pengusaha gerai dan rakan niaga kami kerana pertambahan kunjungan orang ramai ke R&R sangat dialu-alukan,” kata beliau.

Beliau berkata, semasa tempoh PKP dan PKPB, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dengan pembersihan berjadual dijalankan lebih kerap.

“Untuk menikmati pelbagai hidangan makanan dari gerai dan rakan niaga, PLUS menasihatkan pelanggan supaya dapat membuat pra-pesanan makanan menerusi aplikasi PLUS atau klik https://orderdisini.plus.com.my/. Pelanggan juga boleh melayari Facebook rasmi PLUS Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai fungsi pra-pesanan.

“PLUS juga menggalakkan pelanggan supaya memuat turun aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan di lebuh raya dengan terdapatnya maklumat trafik terkini serta paparan kamera litar tertutup mengenai keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.