Mayat reput dalam tong di kebun sawit

Mayat reput dalam tong di kebun sawit

Mangsa berusia 40-an dipercayai meninggal dunia sebulan lalu ditemui pekerja kebun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Lee Chong Chern berkata mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Gambar PDRM)
NIBONG TEBAL:
Mayat lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan reput ditemui dalam tong biru di kawasan kebun kelapa sawit di Tiga Kongsi, Simpang Ampat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.40 pagi tadi berhubung penemuan mayat itu daripada pemilik kebun berusia 46 tahun tersebut.

“Pemilik kebun itu memaklumkan kepada polis bahawa pekerjanya yang melakukan kerja pemotongan sawit di situ pada jam 6 petang semalam terhidu bau busuk dalam sebuah tong berwarna biru bersaiz 150l dan mendapati mayat di dalamnya.

“Pemeriksaan polis mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat mangsa berusia 40-an itu dipercayai warga asing dan telah meninggal dunia kira-kira sebulan. Keadaan mayat telah mengecut serta mengering,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, pemeriksaan awal pada luaran mayat lelaki, yang memakai seluar pendek dan berbaju-T, mendapati tiada sebarang kesan kecederaan, selain pengesanan pasukan polis di sekeliling kawasan kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

“Setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan mana-mana individu. Bagaimanapun, kami minta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, pekerja atau rakan agar tampil membuat pengesanan,” katanya.

Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.