
Bagaimanapun mereka berkata, penambahbaikan perkhidmatan sokongan akan menjadi elemen penting supaya cadangan itu berjaya.
Adeeba Kamarulzaman, seorang profesor perubatan dan penyakit berjangkit di Universiti Malaya, berkata, dasar baharu itu tidak boleh menetapkan pemulihan wajib, kerana ia lari daripada tujuannya.
Beliau berharap akan berlaku peralihan daripada hukuman tahanan wajib kepada model rawatan dan sokongan bersifat sukarela dan membantu berdasarkan keterangan.

“Tentu sekali wang yang dijimatkan dengan tidak memasukkan penyalah guna dadah ke dalam penjara berjumlah berjuta-juta ringgit. Banyak wang dapat disalurkan kepada program sokongan kesihatan dan sosial,” katanya.
“Kami berharap dalam penggubalan undang-undang baharu ini, kerajaan akan mengambil contoh berkesan dari seluruh dunia; undang-undang mana yang perlu dipinda supaya langkah baharu ini dapat menghindari dan menangani penggunaan dadah,” katanya kepada FMT.
Dasar baharu itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin baru-baru ini.
Kata beliau, langkah mengetepikan hukuman penjara itu akan terkandung dalam undang-undang baharu berkenaan salah guna dadah yang bakal diluluskan akhir tahun ini.
Adeeba berkata, kerajaan boleh belajar daripada Portugal, di mana penggunaan dadah dinyahjenayah pada 2001. Program pemulihannya membawa kepada pengurangan penyalahgunaan dadah dan kematian berkaitan dadah.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd Samad berkata, kerajaan perlu bersiap sedia untuk mengendalikan mereka yang mungkin akan dibebaskan dari penjara susulan perubahan undang-undang.
“Kerajaan perlu melihat kepada sokongan berasaskan komuniti untuk pengguna dadah dan memberikan dana untuk pusat sedia ada yang boleh membantu.
“Sekiranya mereka tidak mempertimbangkannya, terdapat risiko apabila membebaskan penagih tanpa sokongan secukupnya. Mereka boleh mempengaruhi orang lain untuk menggunakan (dadah); ini akan meningkatkan permintaan dan seterusnya, bekalan,” katanya.
Beliau berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dan organisasi lain untuk memastikan pesalah ringan tidak dimasukkan ke penjara kerana sistem penjara lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan.
“Mereka ini akan berdepan dengan stigma dan trauma yang berpunca daripada sistem penjara, ditambah pula dengan rekod jenayah yang akan kekal dengan mereka sepanjang hidup, menyukarkan mereka mencari pekerjaan.
“Apabila mereka sudah berada dalam kitaran ganas ini – menggunakan dadah, dipenjara, mungkin akan mengulangi tabiat – mereka akan menghadapi masalah untuk membina kehidupan baharu,” katanya.
Adeeba, yang juga presiden Persatuan AIDS Antarabangsa, berkata, perbezaan antara penagih dan pengguna harus dinyatakan dengan jelas kerana mereka tidak memerlukan sumber yang sama dan mesti dibantu dengan cara berbeza.
Katanya, Agensi Dadah Kebangsaan memiliki sumber penasihat yang mencukupi.
“Pada 2010, kami memiliki pusat penyembuhan dan rawatan yang berfungsi dengan baik dalam peralihan daripada hukuman tahanan wajib kepada cara yang lebih sukarela dan menyokong.
“Jadi, terdapat kemahiran (yang diperlukan) dalam agensi,” katanya.