Premis judi dalam talian diserbu selepas seminggu beroperasi

Premis judi dalam talian diserbu selepas seminggu beroperasi

Premis yang beroperasi dari 10 pagi hingga 8 malam itu menerima keuntungan harian kira-kira RM2,000 hingga RM3,000, kata polis.

Sejumlah 18 komputer riba serta wang tunai RM465 turut dirampas dalam serbuan pasukan D7 semalam.
KUALA LUMPUR:
Kegiatan judi dalam talian di sebuah premis di Bandar Puchong Jaya di sini, yang baru beroperasi seminggu, terbongkar selepas diserbu polis semalam.

Premis yang beroperasi di sebuah lot kedai itu diserbu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang Razali Abu Samah berkata, dua lelaki, masing-masing warga Indonesia dan Myanmar dipercayai penjaga premis tersebut yang dibayar gaji RM1,000 sebulan, ditahan.

Beliau berkata, turut ditahan sembilan lelaki termasuk dua pelanggan warga Bangladesh, dan 18 komputer riba serta wang tunai RM465 dirampas.

“Siasatan mendapati premis yang beroperasi dari 10 pagi hingga 8 malam itu menerima keuntungan harian kira-kira RM2,000 hingga RM3,000. Premis ini juga telah dikenakan waran geledah oleh polis pada akhir 2019,” kata beliau di lokasi serbuan.

Razali berkata, Majlis Bandaraya Subang Jaya menutup dan menyita barangan di dalam premis itu dan kesemua individu ditahan yang berusia lingkungan 26 hingga 71 tahun dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.