Polis Thailand berkas lelaki Malaysia seludup dadah dalam peket mi segera

Polis Thailand berkas lelaki Malaysia seludup dadah dalam peket mi segera

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Bang Na, timur Bangkok.

Seorang lelaki rakyat Malaysia akan didakwa kerana memiliki dadah serta tinggal lebih masa di Thailand.
BANGKOK:
Seorang rakyat Malaysia diberkas polis Thailand selepas dipercayai terbabit menyeludup dadah dalam peket mi segera semalam.

Pegawai penyiasat daripada Biro Polis Metropolitan Bangkok Pol Mejar Char-khorn Premruedeelert berkata, lelaki berusia 34 tahun itu diberkas di sebuah kondominium di Bang Na, timur Bangkok.

“Ketika diserbu, suspek sedang membungkus semula dadah jenis methamphetamine dalam peket perencah mi segera,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat selepas intipan selama hampir dua bulan hasil maklumat awam.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku menerima 1kg methamphetamine daripada seorang penduduk tempatan sebelum membungkusnya dalam peket perencah mi segera seberat 10g.

Beliau berkata, peket mi segera itu kemudian dihantar kepada pelanggan di kawasan berdekatan dan suspek berbuat demikian sebanyak empat kali dengan bayaran 30,000 baht (kira-kira RM4,040) untuk setiap tugasan.

“Pemeriksaan di unit kondominium itu menemukan kira-kira 200 peket mi segera, alat penimbang serta peranti pengedap.

“Siasatan awal turut mendapati lelaki ini bekerja untuk seorang dalang, juga rakyat Malaysia yang berpangkalan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, suspek akan didakwa kerana memiliki dadah serta tinggal lebih masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.