
Ismail berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 886 saringan dan daripada jumlah itu, 36 kes positif Covid-19 direkodkan.
“Bagaimanapun, KKM mengesahkan jangkitan di lokaliti ini adalah terkawal dengan kes positif terakhir direkodkan pada 4 Feb lalu dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kerajaan melaksanakan PKPD di taman-taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah bermula 9 Feb dan dijadualkan tamat pada 22 Feb.
Sementara itu, Ismail turut memaklumkan menerusi Ops Benteng, penguatkuasa berjaya menangkap 39 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sebuah bot serta dua buah kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 118 buah bot di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan. Bahkan, agensi-agensi keselamatan turut menjalankan sebanyak 543 sekatan jalan raya pada semalam,” katanya.
Pada masa sama, seramai 443 individu pula ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP dan daripada jumlah itu, 404 daripadanya dikompaun manakala 39 individu lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan adalah, tiada penjarakan fizikal (136), gagal menyediakan peralatan merekod diri atau pelanggan (84), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (68), tidak memakai pelitup muka (64), premis beroperasi lebih masa (29), keluar rumah tanpa alasan munasabah (20), perjudian (19), membawa penumpang berlebihan (15), ingkar arahan kuarantin (2) dan lain-lain (6),” katanya.