Dana bantu ibu hamil kutip sampah cecah RM113,500

Dana bantu ibu hamil kutip sampah cecah RM113,500

Magdalena Herkules Manalu yang hamil tujuh bulan terpaksa 'menghadap kotoran' demi mencari sesuap nasi untuk dua anaknya dan suami yang terlantar akibat angin ahmar.

Magdalena berkata, dia akan gunakan bantuan itu untuk memulakan perniagaan dalam talian sebagai permulaan baharu untuk menyara keluarganya sebelum melahirkan bayi sementara menunggu suaminya sembuh. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Kisah ibu hamil menyelongkar tong sampah untuk menyara keluarga yang tular di media sosial, meraih simpati ramai apabila kutipan derma dilancarkan untuk membantu Magdalena Herkules Manalu, berjaya meraih kutipan RM113,500 dalam tempoh 40 jam.

Magdalena, 39, yang hamil tujuh bulan terpaksa “menghadap kotoran” demi mencari sesuap nasi untuk dua anaknya – perempuan, 9, dan lelaki, 3, selepas suaminya, Choong Nai Fatt, 44, yang merupakan mekanik motosikal terlantar akibat diserang angin ahmar sejak Disember lalu.

Lantaran itu, One Hope Charity and Welfare menggerakkan inisiatif melancarkan kutipan derma pada 6 Feb lalu untuk membantu keluarga tersebut, namun kerana kutipan yang memberangsangkan, ia dihentikan dua hari kemudian.

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang menyumbang untuk keluarga saya. Saya amat bersyukur kerana tanpa derma anda semua, saya tidak dapat (membantu) merawat suami saya. Namun, saya mohon kepada semua, supaya berhenti memberi derma kepada saya kerana bagi saya semua itu sudah cukup.

“Berikanlah derma kepada golongan yang lebih memerlukan kerana (bantuan yang terkumpul) ketika ini sudah cukup untuk keperluan merawat suami saya. Saya tidak perlu lagi wang ringgit cuma minta doakan supaya urusan kami sekeluarga dipermudahkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan kediamannya di Jelutong.

Magdalena berkata, dia akan gunakan bantuan itu untuk memulakan perniagaan dalam talian sebagai permulaan baharu untuk menyara keluarganya sebelum melahirkan bayi sementara menunggu suaminya sembuh.

Wanita yang berasal dari Medan, Indonesia itu berkata beliau tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai kerana dirinya masih bertenaga untuk mencari rezeki.

Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Chua Sui Hau berkata Magdalena membuat keputusan untuk menggunakan dana itu membiayai rawatan memasang semula tempurung kepala yang baharu untuk suaminya, berjumlah RM45,000 di Hospital Pantai, tidak termasuk kos rawatan fisioterapi dan kos lain-lain rawatan.

Choong juga sebelum ini pernah menjalani pembedahan membuka tempurung kepala di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Disember lalu.

“Jika ada dana lebih, kami akan salurkan kepada keluarga Choong secara bulanan mengikut keperluan keluarga mereka sehingga dana ini habis digunakan. Kami tidak memberikan baki dana secara sekali gus kerana melalui pengalaman lalu, wang tersebut akan habis dalam sekelip mata… Selain itu, pasti ada pihak lain akan mengganggu keluarga ini untuk meminta wang tersebut,” kata Chua.

Beliau berkata, kutipan sumbangan kepada keluarga itu juga terpaksa dihentikan kerana ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melalui platform dalam talian yang menyamar sebagai ahli keluarga Choong untuk memohon bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.