
Jawatankuasa itu dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria tersebut dihadiri kesemua 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dilantik melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Mesyuarat itu menerima pembentangan tiga taklimat, iaitu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berhubung pengurusan darurat, Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan status penularan Covid-19.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat seterusnya dijadual diadakan pada 23 Feb ini.
Pada 9 Feb lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan senarai 19 individu yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dipengerusikan Arifin, berkuat kuasa serta-merta.
Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelaksanaan perintah darurat di Malaysia dan penamatannya.
Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri pula berperanan sebagai urus setia jawatankuasa itu.