Budak 4 tahun mati dipercayai didera kekasih ibu

Budak 4 tahun mati dipercayai didera kekasih ibu

Siasatan awal mendapati mangsa disyaki dipukul lelaki itu di sebuah pangsapuri di Semenyih sehingga tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata polis menahan ibu mangsa dan teman lelakinya berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta 5.45 petang semalam untuk siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera teman lelaki ibu kandungnya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati mangsa disyaki dipukul lelaki itu di sebuah pangsapuri di Semenyih sehingga tidak sedarkan diri.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kajang oleh ibunya yang berusia 31 tahun untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, polis menahan ibu mangsa dan teman lelakinya berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta 5.45 petang semalam untuk siasatan lanjut.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua suspek ditahan reman enam hari hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Mohd Faizal Amir di talian 011 33319871,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.