Air keruh: Projek EKVE masih dalam arahan berhenti kerja

Air keruh: Projek EKVE masih dalam arahan berhenti kerja

Arahan itu susulan pelanggaran syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA).

Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang dikatakan menjadi punca air keruh di Sungai Klang sekarang masih berada dalam Arahan Berhenti Kerja. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang dikatakan menjadi punca air keruh di Sungai Klang sekarang masih berada dalam Arahan Berhenti Kerja yang berkuatkuasa sejak 13 Okt tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Aziah Jaafar berkata, arahan itu susulan pelanggaran syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA).

Katanya, pemaju hanya dibenar melakukan kerja baik pulih tebing sungai, penstabilan cerun dan penutupan cerun terdedah selain menyelenggara sebahagian cerun berhampiran Sungai Ampang yang runtuh akibat tekanan air dari dalam tanah dalam tempoh itu.

Beliau berkata, pemaju dilarang menjalankan kerja tanah dan pembinaan berkuatkuasa 13 Okt tahun lalu hingga ke suatu tarikh penarikan balik yang akan diberitahu kelak.

“Saya dimaklumkan pihak pemaju EKVE akan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat berhubung perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur (JPS WPKL) mengenal pasti kerja pembinaan EKVE sebagai punca air keruh di Sungai Klang di sekitar kawasan ibu kota termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL).

Hasil siasatan JPSWPKL pada 16 Feb lalu mendapati air keruh mula mengalir dari Sungai Ampang di Hutan Lipur Ampang, Selangor berhampiran “intake” Loji Rawatan Air Ampang sebelum mengalir masuk ke Sungai Klang, disebabkan pembukaan tanah yang tidak terkawal.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya Norhayati Ahmad, berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekeruhan air sungai tersebut tahun ini.

“Namun pada September tahun lalu, pihak MPAJ mengeluarkan kompaun RM250,000 dan notis Arahan Berhenti Kerja kepada pemilik konsesi EKVE (kerana isu pencemaran sungai dan banjir di kawasan berdekatan projek).

“MPAJ dimaklumkan pihak EKVE bersetuju membayar kompaun dalam masa terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.